Peserta Himpunan Anak Muda tolak Israel berhimpun bagi menyatakan solidariti terhadap peperangan yang berlaku di Palestin ketika di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 25 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 500 peserta yang terdiri dalam kalangan orang muda menyertai perhimpunan aman anjuran rangkaian NGO Pro Palestin yang diadakan bersebelahan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, di sini, malam ini.

Perhimpunan yang bermula pukul 9 malam itu diadakan bertujuan membangkitkan semangat solidariti dalam kalangan anak muda terhadap nasib yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin ekoran kekejaman yang dilakukan rejim zionis Israel di Gaza.

Lebih 10 penceramah mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan yang terdiri daripada pemimpin NGO, parti politik dan pempengaruh media sosial Tiktokers.

Antara pemimpim politik yang mengambil bahagian dalam ceramah pada perhimpunan tersebut iaitu Ketua Pemuda Armada Nasional yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali dan Ketua Penerangan parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Rafique Rashid.

Selain ceramah, peserta perhimpunan melaung-laungkan ungkapan “Hidup Palestin, hancur Israel”, kami bersama Gaza serta Allah bersamamu Palestin.

Turut dilakukan oleh peserta perhimpunan iaitu acara membakar bendera Israel dan poster Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Perhimpunan diakhiri dengan bacaan doa ke atas rakyat Palestin dan memohon agar Allah S.W.T memberi perlindungan kepada mereka.

Perhimpunan tamat pukul 11.20 malam.

Terdahulu, kedutaan Amerika Syarikat di kawal ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM) seawal pukul 7.30 malam.

Langkah itu diambil pihak berkuasa sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. – MalaysiaGazette