Teo Nie Ching.

CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) optimis Malaysia boleh menjadi Harimau Digital Asia dengan kewujudan pusat data besar di negara ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, ia dapat direalisasikan dengan kemasukan pelabur-pelabur antarabangsa yang menjalankan kerjasama dengan syarikat tempatan.

“Saya optimis, Malaysia boleh menjadi “Harimau Digital Asia” dengan pelaburan yang besar, dan kerjasama dengan organisasi terkemuka seperti Infinaxis, meletakkan kita sebagai pusat data besar seterusnya.

“Bersama-sama, kita boleh mencapai perkara-perkara besar, dan kemunculan Malaysia dalam dunia digital adalah bukti tekad dan daya tahan kita.

“Mari kita bergerak ke hadapan dengan keyakinan, membina masa depan yang lebih cerah untuk negara kita dan menjadi mercu tanda inovasi di Asia Tenggara,” katanya dalam ucapan pecah tanah Pusat Data Infinaxis di Cyberjaya, petang ini.

Nie Ching berkata, Malaysia mempunyai potensi luar biasa untuk menjadi pusat data besar Asia Tenggara seterusnya meletakkan asas yang kukuh untuk matlamat ini.

Ini kerana, pasaran pusat data Malaysia dijangka melepasi AS$2 bilion atau RM9.57 bilion menjelang 2027 yang merupakan bukti kepada pertumbuhan pesat dan potensi untuk melepasi kadar pertumbuhan 47 peratus untuk seluruh Asia Tenggara.

“Setiap RM1 bilion dalam pelaburan pusat data berpotensi mencipta antara RM400 hingga RM500 juta peningkatan dalam KDNK. Industri ini juga dijangkakan akan mencipta kira-kira 2,000 pekerja secara langsung menjelang tahun 2027 serta pekerja-pekerja tidak langsung yang dicipta dalam ekonomi tempatan.

“Malah ia memberikan kesan ekonomi yang melimpah yang akan memberi faedah kepada industri-berkaitan pusat data seperti penyambungan, tenaga, tenaga boleh diperbaharui, pengeluaran kontrak, bakat, dan menarik lebih banyak kabel bawah laut untuk berlabuh di Malaysia.

“Sebagai contoh, Wiwynn, pengilang kontrak dari Taiwan, telah membina sebuah kilang di Senai untuk membekalkan peralatan pusat data dan mencipta 1,650 pekerjaan,” katanya.

Nie Ching berkata, ekonomi digital bukan sekadar sebuah industri malah ia menjadi sebahagian penting dalam landskap ekonomi negara.

Mengikut ramalan, industri data besar (big data) akan menyumbang 24.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini.

“Saya sangat gembira untuk berkongsi bahawa Infinaxis, seorang pemain terkemuka dalam industri teknologi global, telah memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburannya.

“Pelaburan mereka sejajar dengan peningkatan aliran pelaburan asing dalam bidang ini, terutamanya berkaitan dengan pembangunan di Cyberjaya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast