Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat tapak pameran ketika hadir ke Majlis Perasmian Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad membaca kebangsaan di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2023.

CYBERJAYA – Malaysia tidak akan menghiraukan ugut negara-negara kuasa besar susulan kelantangan negara ini membela hak Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia perlu menyuarakan pandangan untuk keadilan rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan.

Pada masa sama, beliau juga tidak bimbang dengan keselamatan dirinya kerana yakin dijamin perlindungan oleh pihak polis.

“Ada Ahli Parlimen Eropah bangkitkan dan kita akan beri pandangan jelas.

“Tidak ada masalah kita jangan hiraukan ugutan. Keselamatan saya Ketua Polis Negara ada dan akan uruskan, kita ada urusan kerja dan kena teruskan (bersuara).

“Saya tidak bimbang dan gusar. Kita terpaksa suara pandangan (Palestin),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad membaca kebangsaan. Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia di sini hari ini.

Semalam, Anwar mendedahkan Malaysia mula dikritik dan ‘diserang’ oleh negara-negara kuasa besar susulan kelantangan membela hak Palestin.

Perdana Menteri menegaskan, bagaimanapun Malaysia tidak sesekali gentar dengan ugutan tersebut.

Beliau menambah, negara-negara berkenaan tidak boleh mengugut Malaysia kerana Malaysia sebuah negara merdeka dan berdaulat, serta mempunyai hak untuk menentukan apa yang betul.

Beliau berkata demikian dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang turut dihadiri oleh ketua-ketua perwakilan negara dan lebih 12,000 orang. – MalaysiaGazette

Anwar terima ugutan negara luar kerana pertahankan Palestin