Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin  untuk mendapatkan semula pasport beliau yang ditahan oleh Mahkamah Sesyen di sini ditolak oleh pihak pendakwaan.

Pasport itu ditahan selepas Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa dengan pertuduhan wang haram.

Pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi pagi ini, diperdengarkan bantahan pendakwaan yang mahu masa lebih untuk memfailkan afidavit jawapan bagi permohonan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Asma Ahmad berkata, notis permohonan hanya disampaikan kepada pihaknya pada 17 Oktober dan pihaknya membantah permohonan tersebut.

“Kami perlukan masa dua minggu bagi memfailkan afidavit ini,” katanya hari ini.

Peguam mewakili Muhyiddin, Datuk K Kumaraendran juga telah memohon tarikh baharu bagi menbalas afidavit berkenaan kelak.

Azura kemudian menetapkan 21 November depan bagi kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis serentak.

Sepatutnya hari ini mahkamah mendengar permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasportnya kembali  bagi membolehkan beliau bercuti bersama keluarganya ke luar negara hujung tahun ini.

Muhyiddin sedang berdepan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan kira-kira RM200 juta.

Beliau mengemukakan beberapa alasan termasuk sudah membuat perancangan untuk bercuti bersama keluarga ke United Kingdom (UK) yang merupakan suatu kebiasaan di mana beliau akan membawa keluarganya untuk bercuti selama sebulan setiap tahun. -MalaysiaGazette