Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keadaan ringgit yang menurun mungkin mendukacitakan ramai orang, tetapi ia merupakan satu keadaan yang menggembirakan buat perantau yang bekerja di Singapura.

Pada ketika ringgit berada pada paras 3.50 berbanding satu dolar Singapura, ramai orang dilaporkan berbaris panjang menunggu giliran menukarkan matawang Singapura kepada matawang Malaysia.

Sinchew Daily melaporkan, orang ramai berpusu-pusu melawat Internet untuk menyemak kadar pertukaran dan hampir 2,000 orang beratur secara dalam talian untuk menukar wang.

“Lucunya, seramai 2,000 orang sedang beratur untuk menukar duit selepas kadar pertukaran matawang Singapura kepada matawang Malaysia mencapai 3.5,” kata seorang pembaca Sinchew Daily yang berkongsi pengalamannya.

Menurutnya, semasa cuba menukar duit secara dalam talian melalui laman web CIMB Singapura, sistem memaklumkan bahawa terdapat 1,906 orang sedang berbaris dan anggaran masa menunggu adalah empat minit.

Individu tersebut seterusnya berjaya menukar matawang dolar Singapura $1,000 kepada ringgit pada kadar 3.4936.

Satu laman sosial membabitkan perantau Malaysia di Singapura juga penuh dengan perbincangan mengenai pertukaran matawang.

Terdapat netizen secara berseloroh berkata, dia perlu berbaris untuk menukar duit secara dalam talian sepertimana berbaris membeli tiket konsert secara dalam talian.

Walau bagaimanapun, terdapat warganet berpendapat perantau tidak perlu terlalu ghairah dengan kadar 3.5 kerana dolar Singapura mungkin menjadi lebih kukuh selepas ini.

Sebelum ini, Nanyang Siang Pau melaporkan, konflik Palestin dengan Israel telah menjejaskan sentimen pasaran yang mendorong pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat sehingga kadar pertukaran ringgit ke dolar menghampiri 4.8

Walaupun penurunan nilai ringgit menghairahkan perantau di Singapura, tetapi keadaan sebalik berlaku untuk ibu bapa yang mempunyai anak di luar negara dan mereka yang melancong ke luar negara.

Nanyang Siang Pau melaporkan, dengan andaian seorang anak perlu belajar selama empat tahun, seorang ibu bapa pula perlu menyediakan tambahan peruntukan 20 peratus untuk menyokong pelajaran dan kos hidup anak di luar negara.

Selain yuran pengajian, seorang pelajar juga perlu menanggung kos penginapan, makan minum dan perbelanjaan lain. – MalaysiaGazette