KUALA LUMPUR – Taman Perindustrian Jaya di Ara Damansara ditutup selepas dikesan berlaku kebocoran gas Ammonia di kilang memproses ais, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 10.30 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergegas ke lokasi kejadian.
“Susulan itu pihak polis mengambil tindakan menutup keseluruhan Taman Industri Jaya dan tidak membenarkan orang awam pekerja masuk ke lokasi kejadian,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, setakat ini tiada mangsa dilaporkan terkesan dengan kebocoran gas berkenaan.
“Penduduk sekitar dinasihatkan supaya mendapat rawatan pemeriksaan di hospital berdekatan sekiranya terbau gas atau muntah.
“Pada peringkat awalnya bacaan adalah 200 ppm (bahagian setiap juta dan keluasan kilang itu 400 meter,” katanya. – MalaysiaGazette