KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad antara yang berdepan pendakwaan baharu hari ini.
Difahamkan, pendakwaan ini berkaitan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Wan Saiful yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu akan berdepan lebih 15 pertuduhan membabitkan penggubahan wang haram ketika ini dengan anggaran kira-kira RM6 juta.
Pagi tadi sekitar jam 8.20 pagi lagi Wan Saiful sudah tiba dengan kenderaan berwarna putih, lengkap bersut hitam sempat menyapa dan senyum kepada pengamal media yang sudah menantikan kelibat beliau.
Sejurus selepas itu, Adam Radlan yang kelihatan serius tiba bersama barisan peguamnya, sempat melambaikan tangan kepada pengamal media yang membuay liputan.
Difahamkan, kedua-duanya akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sekitar jam 9.30 pagi.
Wan Saiful telah dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya semalam untuk diambil keterangan sebelum didakwa hari ini.
Sebelum ini, Wan Saiful telah mengaku tidak bersalah dan mahu dibicarakan atas dua tuduhan menerima rasuah RM6.9 juta berkaitan projek Jana Wibawa yang diperkenalkan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Mereka berdua juga akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok berkait dengan dakwaan penggubahan wang haram.
Dalam pada itu, pagi ini juga pendengaran kes permohonan Muhyiddin yang mahu mendapatkan kembali pasportnya dari Mahkamah Sesyen atas beberapa alasan termasuk sudah membuat perancangan untuk bercuti bersama keluarga ke United Kingdom (UK) Disember ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu itu berkata, sudah menjadi satu kebiasaan beliau akan membawa keluarganya untuk bercuti selama sebulan setiap tahun.
Selain itu, Mahkamah Tinggi juga akan terus menyambung mendengar kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berdepan dengan dakwaan menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah jam 10.30 pagi ini. -MalaysiaGazette