KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan 80 peratus cuti pegawai dan anggotanya sebagai langkah kesiap siagaan menghadapi banjir pada Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pembekuan cuti itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut situasi bencana di setiap daedah dan negeri.
Katanya, seramai 13,475 pegawai dan anggota bomba kini bersiap sedia untuk menghadapi MTL bermula November hingga Mac 2024.
“Pembekuan cuti ini berkuatkuasa sepanjang MTL sehingga Mac 2024 dan ini sudah dirancang lebih awal lagi memastikan 80 peratus daripada keanggotaan bomba akan bertugas sepanjang musim MTL.
“Sebanyak 20 peratus pegawai dan anggota bomba akan diberikan cuti tertakluk kepada situasi banjir yang mana dalam hal ini kita hanya membenarkan mereka yang betul menghadapi perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan dan memerlukan cuti,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Benca JBPM 2023 di Kuarters Bomba Cheras di Taman Midah, Cheras, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 96 pegawai dan anggota bomba yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye menerima sijil penghargaan.
Menurut Abdul Wahab, jabatan hanya akan melaksanakan pembekuan cuti di peringkat kebangsaan sekiranya bencana mencapai tahap kritikal di peringkat nasional.
Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 13 Pasukan Gerak Cepat iaitu Red Team yang mempunyai keanggotaan terdiri daripada 15 pegawai dan anggota pelbagai kepakaran bersedia menghadapi banjir.
“Pasukan Gerak Cepat ini ada di setiap negeri dengan keanggotaan lebih 900 orang yang bersedia lebih awal untuk membantu mana-mana daerah ataupun pusat terbabit dengan banjir bagi operasi pemindahan mangsa banjir serta penyelamatan ketika MTL,” ujarnya. – MalaysiaGazette