Mohamad Faiz didakwa atas pertuduhan mencederakan anak kandungnya di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang duda dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memukul anak perempuannya pada 19 Oktober lalu.

Majistret Siti Zulaikha Nordin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohamad Faiz Mohd Soffi, 36, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tukang rumah itu didakwa telah menyebabkan kecederaan terhadap anak kandungnya berusia enam tahun dengan cara memukul kanak-kanak perempuan itu menggunakan tangan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 19 Oktober lalu pukul 1.30 tengah hari bertempat di sebuah rumah di Permatang Tinggi, Kepala Batas.

Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh boleh dipenjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan di bawah Seksyen 323 akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan sudah insaf.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh dipenjara selama dua tahun bermula dari tarikh tangkapan iaitu bermula 19 Oktober lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah menumbuk, menampar tubuh badan termasuk pipi mangsa hingga mengakibatkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada muka selain bibirnya bengkak. – MalaysiaGazette