KUANTAN – Seorang buruh binaan maut setelah motosikal ditunggangnya dirempuh dari belakang di susur Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Jalan Kuantan – Maran pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu, kemalangan turut membabitkan vokalis kumpulan Kris, Alim atau nama sebenarnya Abdul Halim Mohd Bukhari, 53.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika penyanyi yang memandu kereta jenis BMW itu dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menghala ke Rompin.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggang lelaki berusia 61 tahun dari arah sama dipercayai mengubah lorong secara tiba-tiba dari kiri ke laluannya di sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi.

Jelas beliau, ia menyebabkan Abdul Halim gagal mengelak lalu terlanggar motosikal tersebut mengakibatkan penunggangnya, Eddy Kusmiran Ambi, 61 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk proses bedah siasat, manakala penyanyi itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siastan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette