KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) menegur menteri-menteri kerajaan secara sinis kerana melihat merekat tidak begitu berminat dengan perbentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.
Bekas menteri daripada Barisan Nasional (BN) itu berkata, berdasarkan kepada pemerhatian beliau, tiada tindakan segera yang dibuat oleh mana-mana menteri selepas pengumuman belanjawan tahunan itu memasuki minggu kedua.
“Sebagai contoh, beratus billion berkaitan Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investment) telah diumumkan, pelbagai MoU telah ditandatangani bersama pelbagai negara dari pelbagai sektor antaranya telekomunikasi, keselamatan, tenaga, automotif dan banyak lagi. Namun apakah tindakan susulan yang telah dilakukan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Hishammuddin berkata, respon menteri-menteri di media sosial tidak mencukupi untuk menterjemahkan persetujuan mereka terhadap belanjawan tersebut.
Malah, katanya, ia perlu diperlihatkan dengan pendekatan kepada rakyat yang merupakan denyut nadi kepada pentadbiran kerajaan perpaduan.
“Saya secara peribadi pun merasakan sukar untuk mengenal pasti key take-away yang utama daripada belanjawan yang dibentangkan.
“Menteri-menteri pun kelihatan tidak minat dan kehadiran dalam Dewan ini pun seolah-olah tidak peduli untuk mendengar perbahasan bajet. Hal ini membimbangkan kita sebagai ahli-ahli Dewan yang mulia ini.
“Saya di sini bukan untuk menunding jari kepada sesiapa tetapi hanya memberi pandangan supaya kerajaan mesti dilihat sebagai pihak yang mampu memberikan harapan dan sandaran kepada rakyat,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai kekejaman di Gaza, Hishammuddin berkata, penindasan terhadap penduduk Palestin tidak akan berakhir dengan hanya mengecam dan mengutuk tindakannya.
Jelasnya lagi, Malaysia tidak boleh hanya sekadar memberikan rungutan kepada kerjasama antarabangsa yang disifatkan tidak berkesan.
“Malaysia harus ambil pendekatan berbeza, meneroka inisiatif baharu di luar kotak untuk terus mendokong perjuangan Palestin ke peringkat lebih tinggi.
“Sebagai contoh, Malaysia melalui platform ASEAN boleh mengambil tindakan yang lebih berani dan proaktif. Malaysia adalah antara tiga negara utama Islam bersama Indonesia dan Brunei, dalam kesatuan ASEAN yang mempunyai kekuatan hubungan serumpun.
“Kita bertiga mewakili lebih 250 juta umat Islam dan ini boleh dimanfaatkan sebaiknya. Ini representasi yang besar dan signifikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette