BANGI – Kurangnya interaksi dengan bukan Islam khususnya di negara ini menyebabkan masyarakat berbilang kaum itu memandang sepi isu rakyat Palestin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, keadaan itu timbul kerana bukan Islam beranggapan serangan bersenjata tentera Israel itu sebagai isu agama.
“Hakikatnya sekarang ini orang bukan Islam di Malaysia ini beranggapan bahawa isu ini berlaku di Gaza adalah isu bukan melibatkan mereka.
“Ia tak ada kena-mengena dengan agama mereka, ini orang Islam sahaja yang terlibat, (keadaan) itu kita tak nak,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Seminar Peradaban Islam Dalam Ketamadunan Malaysia 2023 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Dewan Sheikh Othman Sarawak, Fakulti Pengajian Islam, UKM.
Hadir sama Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Madya Dr Ahmad Sunawari Long dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Tambahnya, umat Islam perlu mendekati masyarakat bukan Islam dengan berhemah, beradab dan akhlak seperti mana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.
“Contoh yang kita kena ikut ialah adab dan akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Bila mana rakyat Malaysia yang beragama Islam, jaga adab dan akhlak kita khususnya bila mana kita berinteraksi dengan orang bukan Islam.
“Maka di situ akan timbul kasih sayang, kepercayaan dan teras. Bila teras dan kepercayaan ini kita bina, sebab itu saya kaitkan dengan apa yang berlaku di Palestin,” katanya.
Katanya lagi, apabila interaksi kedua-dua pihak berkesan, masyarakat bukan Islam akan mudah menghayati apa yang berlaiu di Palestin bukan isu agama sahaja bahkan isu kemanusiaan.
“Interaksi antara orang Islam dengan bukan Islam perlu diperkuatkan untuk membina satu masyarakat yang bersatu padu bukan sahaja dalam kalangan orang Islam bahkan bukan Islam.
“Barulah hasrat kita nak bina apa yang Allah sebut dalam al-Quran baldatun toyyibatul warabbulghafur, barulah kerangka Madani yang diimpikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tercapai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette