Rohani merasmikan Sambutan Pink October Bulan Kesedaran Kanser Payudara LPPKN 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.

KEPALA BATAS – Tahap kesedaran mengenai kanser dalam kalangan wanita di negara ini membimbangkan.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ia susulan kanser yang dikesan lewat pada tahap tiga dan empat menunjukkan peningkatan.

Jelas beliau, berdasarkan Laporan Kanser Kebangsaan 2012-2016, kes yang dikesan lewat mencatatkan peningkatan kepada 47.9 peratus berbanding tempoh 2007 hingga 2011 iaitu 43.2 peratus.

“Trend ini membimbangkan dan jika tiada langkah-langkah awal untuk menggalakkan lebih ramai wanita terutamanya yang berisiko menjalani ujian saringan, mungkin lebih ramai akan dikesan kanser pada tahap lewat.

“Kaum adam juga perlu memainkan peranan aktif sebagai pendorong kepada isteri, ibu dan ahli keluarga wanita lain untuk tampil menjalani pemeriksaan (lebih awal) dan memberi sokongan jika mereka telah didiagnos,” katanya.

Rohani turut meminta golongan lelaki mendorong wanita untuk tampil melakukan pemeriksaan awal.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Pink October Bulan Kesedaran Kanser Payudara LPPKN 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurut Rohani, barah payudara ketika ini masih menjadi penyakit kanser reproduktif utama yang menyerang golongan wanita serta menjadi penyebab utama kematian.

“Satu nisbah 27 penduduk wanita berisiko mendapat kanser payudara berdasarkan statistik 2012 hingga 2016.

“Selain itu, terdapat 8,418 kes baharu kanser payudara direkodkan di negara ini dengan 3,503 kematian berdasarkan sumber Globocan pada 2020.

“Terdapat tiga kaedah utama yang perlu diamalkan golongan wanita bagi mengesan penyakit itu iaitu pemeriksaan sendiri payudara, pemeriksaan klinikal dan mamogram,” katanya.

Setakat 30 September lalu, seramai 489,389 wanita telah menjalani ujian mamogram yang merupakan satu-satunya saringan yang terbukti berkesan menerusi Program Subsidi Ujian Mamogram LPPKN sejak 2007. – MalaysiaGazette