Hamizan Musa (kanan) ketika pemeriksaan stok beras putih tempatan di kilang Syarikat Mumtaz Iman Sdn Bhd, di sini hari ini

KUANTAN – Sebanyak 900 metrik tan stok beras putih tempatan telah dibawa masuk ke Pahang sebagai usaha mengatasi isu kekurangan bekalan.

Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Pahang, Hamizan Musa berkata, jumlah tersebut diagihkan kepada lima syarikat pemborong yang dilantik untuk diedarkan kepada peniaga dan peruncit di seluruh negeri bermula hari ini.

“Kerajaan melantik lima syarikat, dua di Kuantan, satu di Jengka, satu di Maran dan satu di Triang untuk edaran ke seluruh negeri.

“Walaupun ia tidak lah menjamin bekalan akan mencukupi tapi sekurang-kurangnya membolehkan beras putih tempatan itu ada di pasaran,” katanya.

Hamizan Musa

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke Syarikat Mumtaz Iman Sdn Bhd di Indera Mahkota di sini hari ini.

Menurut Hamizan, Syarikat Mumtaz Iman yang dilantik kerajaan negeri itu antara lima syarikat yang diberi tanggungjawab mengedarkan bekalan beras melalui program panel pemborong yang diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Bekalan beras putih tempatan yang diperoleh itu dijangka boleh diagihkan ke seluruh negeri menerusi kira-kira 8,000 kampit bagi beras seberat 10 kilogram sekampit.

“Kita sasarkan dalam tempoh setahun bermula Julai 2023, masalah kekurangan beras putih tempatan selesai. Sebab beras ikut musim menuai,” katanya.

Dalam pada itu, Hamizan memaklumkan tiada aduan yang diterima pihaknya berkenaan kekurangan bekalan beras putih tempatan di Pahang.

Begitu juga tiada aduan diterima pihaknya membabitkan bekalan disorok oleh pemborong atau peniaga.

Beliau turut menyeru agar masyarakat tidak lagi risau jika berlakunya kekurangan bekalan beras putih tempatan dan tidak melakukan pembelian panik dan menyimpan stok beras di rumah.

“Kalau boleh kalau nak beli ikutlah keperluan kita. Beras tidak boleh disimpan lama, paling lama kalau simpan di rumah pun tiga minggu, kalau tak ia akan naik bubuk,” katanya. – MalaysiaGazette