Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap mengenai jenayah penipuan atas talian pada sidang media di Ibu pejabat JSJK, Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 26 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Setakat ini tiada seorang pun pelabur dalam I-Serve tampil  melaporkan kepada polis mengenai pelaburan Syarikat I-Serve walaupun selepas pemegang saham perniagaan terbesar di dalamnya ditahan dan disiasat polis.

Individu berkenaan ditahan berkaitan pegubahan wang membabitkan syarikat penerbangan tambang murah MYAirlines.

Justeru itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menasihati para pelabur yang menjadi mangsa dalam syarikat itu agar tampil segera berbuat demikian.

“Pada Isnin lalu, kami sudah meminta para pelabur yang terjejas supaya tampil membuat laporan segera agar boleh membantu siasatan polis tetapi malangnya tiada seorang pun muncul sehingga hari ini.

“Setakat ini kita ada buat beberapa tangkapan (empat individu kesemuanya) untuk membantu siasatan kami yang masih diteruskan lagi.

“Kami juga mendapat beberapa petunjuk positif dalam dalam kes ini dan sedang menjalankan siasatan dalam perkara itu,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Menara KPJ hari ini.

Tambah Ramli, polis belum mempunyai jumlah mangsa yang melabur dan terjejas dalam I-Serve dan sedang dalam proses siasatan untuk mengenalpasti jumlahnya.

“Kes kita tidak akan terjejas jika mangsa (pelabur) tidak tampil pun tetapi adalah lebih baik jika mereka tampil membuat laporan sebab mereka melabur dan telah mengalami kerugian, kerjasama mereka boleh membantu memudahkan proses siasatan kami dalam kes ini.

“Pelabur ini dianggap sebagai mangsa kerugian wang melabur jadi lebih baik untuk mereka tampil lapor kepada kami,” tegasnya.

Sebelum ini polis telah menahan seorang lelaki tempatan bergelar Datuk yang merupakan pemegang saham perniagaan terbesar dalam I-Serve bagi membantu siasatan polis pengubahan wang haram membabitkan syarikat penerbangan tambang murah MYAirlines.

Dalam serbuan di rumah mangsa di Bangsar pada awal pagi 23 Oktober lalu, polis juga berjaya merampas kereta mewah, beg tangan mahal, 10 jam tangan mewah dan barang kemas selain membekukan 15 akaun bank yang mempunyai wang hampir mencecah RM5 juta.

Sebelum itu pada 17 Oktober lalu Pengasas Bersama MYAirlines yang juga pemegang saham terbesar dalam syarikat penerbangan itu, Datuk Allan Goh ditahan bersama anak dan isterinya di Shah Alam sebelum ditahan reman dan kemudian dibebaskan secara berperingkat pada 23 Oktober lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast