KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan amaran tegas kepada semua pemilik dan juga ejen-ejen hartanah yang didapati bersekongkol dengan sindiket penipuan dalam talian dengan menyewakan kediaman mereka dijadikan sebagai pusat panggilan.
Jika didapati bersubahat, mereka akan disiasat dan didakwa, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Menurutnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan dilaksanakan terhadap mana-mana pemilik atau ejen hartanah yang dikesan bersubahat melakukan kesalahan itu termasuk pendakwaan di mahkamah.
Katanya, semua ejen hartanah berkaitan penyewaan premis kediaman atau apa jua bentuk bangunan bagi tujuan perbuatan pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian akan dipertanggungjawabkan sebagai rakan sejenayah.
Mereka boleh dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan atas kesalahan bersubahat.
“Pemilik premis juga akan dipertanggungjawabkan atas prinsip know your customer dan dia sepatutnya soal selidik teliti latar belakang seseorang penyewa serta motif dan aktiviti kerja utama mereka sebelum membiarkan rumahnya disewa oleh sindiket.
“Kita akan mengambil tindakan tegas ini untuk membanteras operasi pusat panggilan secara holistik kerana mereka wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan di negara ini tanpa terkawal dan semakin berleluasa membabitkan mangsa.
“Kita akan bertindak lebih tegas terhadap pemilik dan ejen yang tidak seharusnya tamak haloba apabila menawarkan harga dua kali ganda terhadap premis dan kediaman yang disewa tanpa usul periksa aktiviti pihak yang mahu duduki kediaman mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Ramli Mohamed berkata, polis tidak lagi akan melayan apa jua alasan tidak munasabah yang merugikan orang ramai kerana polis mempunyai liabiliti undang-undang.
“Bayangkan jika seramai 20 penghuni dalam satu premis sehingga membuat renovasi dan penambahan di bangunan, mana mungkin tidak ada berlaku apa-apa aktiviti yang meragukan.
“Jadi, selepas ini pemilik tuan punya rumah tidak boleh lagi memberi alasan tidak masuk akal kononnya dia tidak tahu kepada siapa rumahnya disewa kerana membiarkan kepada ejen hartanah menguruskannya,” tegasnya.
Dalam sidang media sama, Ramli Mohamed juga memaklumkan statistik terkini PDRM menunjukkan berlaku peningkatan dalam kes penipuan melalui sindiket pusat panggilan pada tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya
“Bagi tahun ini, seramai 1,160 tangkapan terdiri 791 warga tempatan dan 369 warga asing dengan kerugian RM883,967 selain hampir 10, 000 peranti dirampas.
“Berbanding sebelumnya mencatatkan 643 pada tahun lalu dan 332 jumlah kes tangkapan pada 2021,” jelasnya.
“Saya menasihatkan orang ramai janganlah mudah terpedaya dan dibiarkan ditipu oleh sindiket ini dan sentiasa berwaspada dengan taktik licik scammer yang menjadi trend seiring dengan kemajuan teknologi dan tidak hanya bergantung kepada penguatkuasa semata-mata.
“Masyarakat harus cakna dengan maklumat yang disampaikan oleh pihak polis dengan pelbagai medium penyampaian yang mana paling penting sekali jangan berkongsi maklumat perbankan seperti kad bank, kata laluan, dan nombor akaun kepada pihak ketiga yang tidak dikenali dan hubungi talian 997 di bawah Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh 24 jam jika anda salah seorang mangsa penipuan dalam talian,” katanya.-MalaysiaGazette