GOMBAK – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan untuk mercemar duli dan meluangkan masa bertemu seramai 22 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) yang berasal Palestin di sini hari ini.
Pada pertemuan yang berlangsung di Kampus Gombak itu, baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM mempamerkan sifat prihatin dan kasih-sayang apabila sebak dan terharu mendengar luahan dalami kalangan pelajar terbabit yang risau nasib keluarga mereka dengan apa yang berlaku di Gaza.
Dengan wajah sedih dan penuh simpati, Tunku Azizah Aminah Maimunah mengakui memahami apa yang dirasai pelajar Palestin itu.
Baginda turut menerima surat permintaan yang merupakan suara hati Komuniti Palestin UIAM yang ingin disampaikan ke Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Malah Raja Permaisuri Agong juga berjanji untuk mengaturkan pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan pelajar terbabit satu hari nanti.
Sementara itu, seramai 43 orang pelajar Palestin kini menyambung pengajıan mereka di UIAM dalam pelbagai bidang di mana 30 orang pelajar melanjutkan pengajian Doktor Falsafah dan sarjana manakala seramai 13 orang lagi di peringkat ijazah sarjana muda.
Hadir sama pada majlis pertemuan tersebut ialah Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan barisan Jawatankuasa Pengurusan Universiti.
UIAM juga turut melancarkan Tabung Kecemasan Misi Bantuan Kemanusiaan Kepada Rakyat Palestin bagi membantu mangsa-mangsa serangan tentera rejim Zionis Israel yang berlaku di tanah semenanjung Gaza.
Tabung bantuan tersebut mula digerakkan pada awal Oktober inir dan pelancaran tabung ini adalah sebagai salah satu solidariti keprihatinan warga UIAM atas apa yang sedang berlaku di Palestin.
Selain itu juga, ramai bekas-bekas pelajar dan kakitangan UIAM atau para Alumni UIAM datangnya dari Palestin dan sebahagiannya mempunyai saudara-mara yang berada di Palestin dan terkesan dengan tindakan rejim Zionis Israel.
Menurut Rektor UIAM, Dzulkifli, tabung yang dilancarkan ini adalah salah satu cara kita bersoladiriti bagi membantu saudara kita yang dilanda bencana dan ia seperti di tuntut dalam agama.
“Dengan sumbangan orang ramai melalui tabung ini ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang terkesan dengan keadaan yang belaku di Gaza.
“UIAM mempunyai ramai alumni yang datang dari Palestin, terdapat pelajar Palestin yang kini sedang belajar di UIAM. Oleh itu sebagai tanda keprihatinan dan solidariti, UIAM melancarkan tabung kutipan tersebut,” ujarnya.
Setakat kini jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan adalah sebanyak RM60,000 dan tabung bantuan Palestin ini masih dibuka sehingga esok.
Hasil kutipan tersebut akan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi(KPT) untuk diagihkan kepada pihak bertanggungjawab bagi menyampaikan sumbangan terus kepada mangsa. – MalaysiaGazette