ISKANDAR PUTERI – Skuad hoki remaja kebangsaan berharap dapat membenam pasukan New Zealand pada aksi pembukaan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, esok.
Pengurus Pasukan, I.Vikneswaran berkata, Young Tigers bersedia menghadapi cabaran dengan mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan Great Britain, semalam.
“Sudah semestinya perlawanan pembukaan esok adalah sangat penting, jadi pemain kena fokus.
“Pemain juga perlu bersedia sepenuhnya, bagaimanapun kita tidak mahu meletakkan tekanan kepada pemain dan mahu mereka memberikan yang terbaik,” katanya pada sidang media, hari ini.
Bagaimanapun kecederaan yang dialami dua pemain iaitu Muhammad Danish Danial dan Muhammad Alief Adha tidak akan menjadi penghalang buat pasukan negara mempamerkan aksi cemerlang.
“Kita akan melihat sejauh mana tahap kecederaan yang dialami, sebelum membuat keputusan sama ada untuk merehatkan mereka (Muhammad Danish dan Muhammad Alief) atau tidak,” katanya.
Sebanyak lapan negara berentap dalam kejohanan bawah 21 tahun itu yang terdiri daripada pasukan Malaysia, Great Britain, India, German, Australia, Afrika Selatan, New Zealand dan Pakistan.
Perlawanan pembukaan esok turut menyaksikan pasukan Great Britain bertemu Australia dan India bertemu Pakistan.-MalaysiaGazette