KUALA LUMPUR – Tiada perancangan untuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikembalikan, demikian tegas Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai gesaan banyak pihak agar dikembalikan GST biarpun perlu ditukar dengan nama yang lain.
Beliau berkata, perkara itu sudah diputuskan dan tidak perlu dikenangkan lagi.
“Ternyata rakyat suka pada angka 10 berbanding enam ketika GST dulu. Sukar betul saya nak memahami mentaliti rakyat Malaysia.
“Perkara (GST) ini kita tak tahu lagi bila. Walaupun Persatuan Pengilang-pengilang Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan banyak lagi menyokong ia dilaksanakan semula.
“Kalaulah semua peniaga ini betul-betul beretika, pastinya mereka sokong GST. Kalau mereka tidak telus dan tiada etika tiadalah yang suka,” katanya pada program SKOP MG, malam tadi, dengan tajuk ‘Potongan Kek Tidak Sama Besar’.
Mengakui potongan belanjawan ini tidak sama besar, namun Ahmad berkata, Kerajaan sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
“Ini adalah belanjawan tertinggi dalam sejarah. Semua golongan mendapat manfaat. Saya tahu dan pasti golongan T20 tidak akan berharap bantuan.
“Jadi B40 dan M40 ada manfaat cuma tidak sama,” katanya.
Beliau berkata, fokus Kerajaan Madani bagi tahun 2024 adalah menumpukan kepada pelaksanaan subsidi bersasar.
“Itu jawapan perdana Menteri di Dewan Rakyat. Komunikasi yang berkesan sebelum kita nak laksanakan sesuatu dasar besar adalah dengan memberi kefahaman kepada rakyat.
“Jika tidak, perkara ini sukar untuk dilaksanakan,” katanya.
Jelas beliau, pada masa ini, kerajaan sedang menyusun pelbagai cara seperti Pembangunan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di bawah Kementerian Ekonomi serta agensi Laksana di bawah Kementerian Kewangan yang turut mempunyai data lengkap seluruh rakyat Malaysia yang menerima bantuan.
“Kalau mereka pernah menerima bantuan sebelum ini, data itulah yang digunakan.
“Apabila semua itu kita perolehi, dengan data itulah yang akan digunakan untuk menentukan siapa yang layak mendapat subsidi bersasar ini seperti adalah Ron95 dan elektrik,” katanya.
Jelasnya, dengan keseluruhan data ini, ia akan membantu Kerajaan dalam merealisasikan Belanjawan 2024 dengan efisien sekali. – MalaysiaGazette