KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyokong penuh arahan Perdana Menteri bahawa segala urusan surat-menyurat hendaklah menggunakan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan.
Ketua Biro Undang-Undang Angkatan Muda KEADILAN Selangor, Khairul Naim Rafidi berkata, pihaknya menyokong tindakan itu kerana ia bertepatan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan berpotensi untuk memupuk integrasi serta kejelasan komunikasi di kalangan masyarakat Malaysia.
Khairul menambah, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas mencerminkan sikap selari dengan Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan yang menyatakan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantara.
Malah seksyen itu diperkuatkan lagi melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011.
AMK Selangor turut mengambil pendirian tindakan tegas tanpa apologetik itu juga penting bagi memelihara kedaulatan serta kedudukan Bahasa Melayu yang merupakan identiti kebangsaan dalam negara ini.
Namun pihaknya meyakini bahawa Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang mengandungi sebanyak 11 peruntukan masih belum cukup komprehensif bagi memartabatkan Bahasa Melayu.
Sehubungan dengan itu, AMK Selangor mencadangkan beberapa penambahbaikan untuk menjadikan akta tersebut selaras dengan hasrat dan semangat yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri.
“Pertama sekali, kerajaan perlu menyegerakan tindakan untuk mengangkat teks Perlembagaan Persekutuan versi Bahasa Melayu sebagai teks rasmi dan berautoriti bagi menggantikan teks Bahasa Inggeris supaya ia selari dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.
“Kedua, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 juga perlu diberikan nafas baharu memandangkan tidak ada peruntukan jelas yang menyentuh implikasi seandainya mana-mana peruntukan di dalam Akta tersebut gagal dipatuhi.
“Ketiga, memandangkan kebergantungan terhadap Bahasa Inggeris masih lagi tinggi di mahkamah, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dan kerajaan perlu memberikan satu panduan yang lebih jelas supaya pengecualian dan kelonggaran yang terdapat dalam undang-undang tidak disalahgunakan,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
AMK Selangor juga berharap agar segala cadangan ini dapat dipertimbangkan supaya kedudukan Bahasa Kebangsaan dapat diangkat dan lebih ‘bertaring’. – MalaysiaGazette