Iklan Big Pharmacy yang mencetuskan kontroversi.

KUALA LUMPUR – Syarikat Big Pharmacy memohon maaf berikutan penerbitan video komersial yang dianggap rasis dan menghina masyarakat beragama Hindu.

Syarikat penjualan barangan farmasi tersebut mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan yang dilakukan.

“Kami ingin memohon maaf atas video promosi yang tidak sensitif baru-baru ini di media sosial.

“Kami mengakui sifat menyakitkan dan menyinggung perasaan dalam kandungan ini dan menuntut tanggungjawab penuh atas kekurangan usaha wajar kami.

“Kandungan yang dipersoalkan bertentangan dengan nilai kepelbagaian dan keterangkuman dan kami telah pun mengambil langkah segera untuk menangani isu ini secara dalaman bagi memastikan situasi sedemikian tidak berulang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Big Pharmacy, syarikat itu sentiasa komited dalam sikap keterangkuman dan budaya menghormati.

Syarikat berkenaan turut memberi jaminan akan melakukan yang lebih baik untuk memastikan kandungan yang dihormati, sensitif dan mewakili budaya dalam komuniti.

Video yang tular di platform X tersebut mendapat kritikan selepas watak jurujual yang memakai pakaian kaum India kelihatan melukis ‘bindi’ di dahinya.

Watak yang dilakonkan oleh seorang pempengaruh media sosial kemudian mengunakan ‘bindi’ berkenaan untuk mengimbas barang-barang yang dibeli oleh pelanggan.

“Siapa yang mengendalikan pemasaran Big Pharmacy ni dan memutuskan untuk mengupah influencer buruk seperti ini?

“Jika jalan cerita dicadangkan oleh talent macam mana semua boleh sepakat diluluskan? Dan jika ia datang dari agensi/pelanggan, copywriter anda adalah seorang yang perkauman dan bodoh ke?” soal salah seorang pengguna X.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast