SHAH ALAM – Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Profesor Adjung bagi Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 September lalu.

Irmohizam berkata, lantikan itu satu penghormatan dan keistimewaan buat dirinya yang juga Alumni AAGBS, UiTM dalam Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) 2020.

Beliau berkata, ia memberi peluang untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan minda anak muda, sekali gus membantu dalam membentuk generasi peneraju perniagaan.

“Pelantikan ini saya terima dengan rasa penuh tanggungjawab dan syukur. Saya sangat teruja untuk menyelami selok-belok dunia perniagaan, memupuk persekitaran pembelajaran dan inovasi.

“Saya amat komited untuk menyumbang kepada institusi terkemuka ini, membimbing bakal pemimpin masa depan negara kita.

“Malah ia akan mengekalkan warisan kecemerlangan AAGBS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau menerima pelantikan itu dalam satu Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan di Ruang Legar AAGBS di UiTM, di sini, pagi tadi.

Watikah telah disampaikan oleh Dekan AAGBS UiTM, Prof. Dr. Syed Jamal Abdul Nasir Syed Mohamad.

Tambah Irmohizam, dengan latar belakang luas dalam dunia acara perniagaan, beliau berhasrat untuk berkongsi pengetahuan dan pandangan praktikal, dunia sebenar serta merapatkan jurang penting antara industri dan akademik.

“Saya merupakan rakyat Malaysia pertama yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.

“Saya akan memanfaatkan kemahiran kepemimpinan, pengalaman yang luas, dan hubungan industri globalnya dalam sektor acara perniagaan untuk memperkayakan komuniti AAGBS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast