KUALA LUMPUR – Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad (MCHB) telah melantik seramai 300 pelajar sekolah sebagai duta khas untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar demi menjamin masa depan yang sihat dan sejahtera.
Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, kesemua pelajar itu dipilih daripada 10 buah sekolah di Bandar Seri Sendayan, Seremban Negeri Sembilan menerusi Program Inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang merupakan usaha jitu dalam membantu menjaga kelestarian alam sekitar demi mengekalkan keseimbangan ekologi melalui penukaran sisa makanan kepada Eko Enzim.
Katanya, Program ESG yang dianjurkan oleh Matrix Concepts di bawah polisi keselamatan dan persekitaran merupakan satu komitmen dan tanggungjawab sebagai pemaju hartanah di Malaysia melalui Program Kelestarian Alam Sekitar 2023 yang dianjurkan bersama dengan rakan strategik badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Eco-Enzyme Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia.
“Sejak penubuhan syarikat Matrix Concepts selama 27 tahun, kelestarian alam sekitar turut menjadi salah satu kepentingan polisi organisasi ini bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat di sekitar Bandar Sri Sendayan dengan memberikan keutamaan ke arah kehidupan yang lebih sihat dan mengekalkan persekitaran yang bersih.
“Ia bertujuan mengekalkan sistem kitar semula yang sempurna bagi meningkatkan kesedaran pekerja, golongan muda dan pihak berkepentingan terhadap isu kelestarian alam sekitar melalui beberapa latihan yang selaras dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Usaha ini disasarkan dengan harapan dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat, semua pihak yang berkepentingan terlibat untuk mengintegrasikan penjagaan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Tambah Mohamad Haslah, MCHB sudah meneruskan program-program kelestarian alam sekitar dengan cara mengitar semula pembuangan sisa-sia makanan sayur-sayuran dan buah-buahan melalui penggunaan eko-enzim yang dicipta melalui proses fermentasi yang disimpan selama tiga bulan.
Menurut beliau, Eko-enzim digunakan dalam meningkatkan kualiti air dengan menguraikan pencemaran dan nutrien berlebihan.
Selain peningkatan kualiti air, eko-enzim boleh digunakan untuk pembersihan udara dan tanah, pembersihan kawasan sekitar, kebersihan peribadi, baja, dan aplikasi perubatan.
“MCHB telah menyediakan program-program kelestarian alam sekitar di beberapa sekolah di sekitar Bandar Sri Sendayan dan seramai 300 pelajar yang hadir pada majlis berkenaan telah dipilih menjadi duta alam sekitar untuk meningkatkan pemahaman kepada rakan-rakan, ibu bapa dan masyarakat.
“Saya sangat yakin dan percaya usaha mendidik masyarakat menerusi pelajar sekolah sebagai duta alam sekitar ini dapat mengubah tabiat dan membuka minda masyarakat kita dengan menggalakkan pembuangan sisa-sisa makanan secara lebih bertanggungjawab dan bersistematik bagi melindungi kelestarian alam sekitar secara berkesan,” katanya.
Program yang julung kalinya diadakan pada tahun ini dikenali sebagai “Program Kelestarian Alam Sekitar 2023″ merupakan tunjang utama tanggungjawab sosial korporat bagi syarikat tersebut.
Kata Mohamad Haslah, antara sekolah yang terlibat dalam program perintis kelestarian alam sekitar terbabit adalah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Sri Sendayan,Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan, SJK(C) Bandar Sri Sendayan; SMK Felda Sendayan; SMK Seri Bandar Baru Sri Sendayan; SK Jimah Baru; SK Jimah Lama; SK Sendayan; SK Kampung Tekir dan akhirnya Matrix Global Schools.
Dalam perkara sama beliau berkata, MCHB akan terus mengambil langkah proaktif untuk meneruskan usaha mendidik komuniti sejagat mengenai kelestarian alam sekitar ini dengan meningkatkan lagi penglibatan golongan muda untuk menerusi legasi program eko-enzim dengan membersihkan beberapa taman di sekitar Bandar Sri Sendayan.
“Saya percaya usaha ini turut dibuktikan dengan proses ujian saintifik terhadap kualiti air di sekitar Bandar Sri Sendayan dengan kerjasama daripada Persatuan Pencinta Alam (MNS),” katanya. – MalaysiaGazette