Gambar hiasan

AMPANG – Seorang penjaga dan sukarelawan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Lembah Jaya, di sini dicekup selepas disyaki melakukan penderaan dan cuba merogol dua remaja perempuan.

Penahanan seorang lelaki asing dan warga tempatan dibuat selepas polis menerima laporan pada jam 1.36 dan 4.03 petang semalam.

Kedua-dua mangsa dibawa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ketua Polis daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kes pertama melibatkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditampar di pipi dan dipukul menggunakan kayu di peha.

Penjaga itu dikatakan marah mangsa yang bermain telefon di dalam bilik.

“Mangsa telah dirujuk ke Hospital Ampang dan disahkan mengalami kesan lebam di tepi sehingga belakang peha dan betis kiri serta kesan bengkak di pipi kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes kedua pula melibatkan seorang remaja berusia 13 tahun.

Kejadian berlaku pada 20 Oktober, kira-kira jam 1 pagi di pusat penjagaan kanak-kanak.

Mangsa telah ditarik oleh seorang lelaki tempatan yang merupakan sukarelawan di pusat berkenaan.

Suspek bertindak mencabul dan cuba merogol mangsa. kata Mohd Azam.

Namun, tindakannya terhalang apabila rakan mangsa masuk ke dalam bilik tersebut.

Bertindak atas laporan polis itu, kedua-dua suspek diberkas polis pada jam lebih kurang pukul 5 petang semalam di Jalan Sri Kemuning, Lembah Jaya Selatan.

Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) akta kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Hukuman bagi Seksyen 31(1)(a) akta kanak-kanak 2001 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima puluh ribu ringgit atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 merujuk kepada seseorang yang menyentuh atau perbuatan fizikal ke atas mana-mana bahagian seorang kanak-kanak dengan niat secara seksual.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat. – MalaysiaGazette