Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyarankan sudah tiba masa Malaysia tidak perlu lagi bergantung kepada negara Barat.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk beralih daripada menggunakan dollar kepada mata wang alternatif dalam perdagangan dunia amat disokong.

“Rakyat harus menyatakan pendirian bersolidariti bersama Perdana Menteri dalam isu Palestin. Kami akan bersama pendirian kerajaan dengan memastikan kedaulatan ekonomi tidak tergugat,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohd Azmi, Malaysia harus berdaulat mempertahankan hak untuk bersuara atas hujah prinsip kebenaran, keadilan dan kemanusiaan serta berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Justeru, kenyataan Perdana Menteri yang Malaysia akan terus menyuarakan isu Palestin walaupun ada ugutan dan usul daripada seorang ahli Parlimen Eropah untuk mengenakan sekatan ke atas Malaysia perlu disokong keseluruhan rakyat di negara ini.

“Kami menyokong penuh ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan terus lantang menyuarakan hak Palestin dan mengkritik negara barat yang bersikap hipokrit dalam soal keganasan Israel melakukan jenayah perang ke atas warga Palestin.

“Sikap double standard Barat dalam isu Palestin sangat jelas. Jenayah perang dan genosid yang terang-terangan dilakukan oleh Israel selama lebih 75 tahun ke atas Palestin telah didukung oleh negara Barat terutama Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Dengan segala jenayah yang dilakukan ke atas Palestin, Israel adalah sebenarnya negara teroris yang disokong sepenuhnya oleh Barat,” ujarnya.

Mohd Azmi berkata, sejak 1948, jutaan rakyat Palestin diusir, ratusan ribu menjadi pelarian dan tiada kediaman, ribuan dibunuh ditahan serta diseksa, dinafikan hak asasi dan diperlaku lebih rendah dari binatang.

Jelasnya, rakyat Gaza sedang disembelih dengan kejam dan sehingga tarikh kenyataan ini dikeluarkan, Gaza sedang menjadi padang jarak padang terkukur.

“Lebih 6,000 rakyat awam Gaza terkorban dan lebih 2,500 kanak-kanak syahid. Yang jelas negara Barat bukan sahaja merestui jenayah Israel, malah membekal dana dan senjata tercanggih untuk Israel melakukan pembantaian paling kejam berterusan ke atas warga Palestin,” tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, MAPIM menyokong ketegasan Perdana Menteri bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada ugutan.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia bangga dengan pendirian Perdana Menteri dan akan bersama menyuarakan isu Palestin tanpa gentar dan takut sehingga hak Palestin dikembalikan.

“Kami menyatakan dengan tegas bahawa jika tekanan sekatan dikenakan ke atas Malaysia seluruh rakyat akan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette