KUALA LUMPUR – Penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi adalah tidak dibenarkan sama sekali sepanjang penganjuran Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme di sepanjang penganjuran program tersebut.
Ia kerana, penganjuran program itu bertujuan mendidik murid nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat.
Malah, Minggu Solidariti Palestin yang dijadualkan berlangsung sepanjang 29 Oktober hingga 3 November perlu dijadikan platform untuk mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling hormat menghormati.
“KPM menggalakkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang mendukung isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, seyembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster tema kedamaian dan kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin di sepanjang pelaksanaan program ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
KPM membuat kenyataan itu susulan gambar kanak-kanak sekolah yang memegang senjata mainan yang dipercayai ada kaitan dengan Minggu Solidariti Palestin di sekolah.
Tambahnya, KPM mengambil perhatian kebimbangan masyarakat mengenai video tular di media sosial mengenai program berkenaan yang memaparkan unsur ekstremisme.
Menurut KPM, penganjuran program ini adalah di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan yang ditetapkan KPM. – MalaysiaGazette