KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Razak Ridzuan mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan sayap tersebut, Disember ini.
Beliau juga tidak akan bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Amanah.
Razak berkata, keputusan itu dibuat kerana mengambil tanggungjawab atas kegagalan Pemuda Amanah menarik pengundi muda Melayu.
“Satu perubahan radikal perlu dibuat supaya pembaharuan dalam parti khususnya sayap pemuda dapat direalisasikan.
“Antara langkah penting yang harus diambil adalah dengan menampilkan muka-muka baharu dalam menerajui kepimpinan Pemuda Amanah dengan melihat secara menyeluruh calon-calon berkualiti yang mungkin berada di luar daripada lokus kepimpinan Pemuda Amanah sedia ada,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, langkah itu juga adalah bagi memberi ruang seluas-luasnya kepada pemuda di setiap peringkat sama ada yang bergelar wakil rakyat atau tidak untuk menonjolkan bakat kepimpinan seterusnya memberi nafas baharu kepada Pemuda Amanah.
Razak memberitahu, pandangan tersebut adalah berdasarkan kepada kegagalan sayap pemuda dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya Pemuda Amanah untuk menguasai naratif politik dalam kalangan anak muda ketimbang Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang dapat dilihat pada pilihan raya umum dan negeri yang lalu.
“Dengan kedudukan Pemuda Amanah yang mempunyai peranan besar dalam menarik pengundi muda Melayu, rekodnya agak tidak memberangsangkan dan perlukan pasukan yang lebih berwawasan, mantap dan proaktif bagi memastikan undi muda Melayu tidak terus hilang dari penguasaan Amanah dan PH,” jelasnya.
Beliau turut menggesa Pemuda Amanah di semua peringkat melakukan reformasi dalam parti untuk menampilkan wajah yang lebih segar bagi menampilkan pasukan yang lebih meyakinkan. – MalaysiaGazette