PETALING JAYA – Lokasi strategik ibu pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) antara faktor dewan di dalamnya kini berfungsi sebagai dewan serbaguna untuk pelbagai majlis dan acara keramaian yang dibuka kepada orang awam.
Koperasi Warga Nafas Selangor Berhad (Kowarna) yang menjenamakan dewan tersebut sebagai Nafas Function Hall mula dilancarkan hari ini.
Nafas Function Hall menawarkan perkhidmatan lengkap bagi istiadat perkahwinan selain majlis makan malam, graduasi, hari lahir, aqiqah, acara korporat, persaraan dan lain-lain lagi.
Pengurus Kowarna Mohamad Sarif Safian berkata, Nafas Function Hall yang lengkap berhawa dingin dan surau boleh memuatkan sehingga 500 tetamu pada satu-satu masa.
“Kalau ada permintaan untuk lebih 500 orang kita boleh menggunakan bahagian luar dewan dengan menambahkan khemah yang boleh memuatkan sehingga 1,200 orang pada satu-satu masa,” katanya.
Nafas Function Hall menawarkan tiga pakej bagi majlis perkahwinan yang berharga antara RM18,800 hingga RM26,800.
Pakej termasuk andaman yang meliputi penyediaan sepasang busana sanding, aksesori dan tatarias pengantin, pelamin, karpet merah dan lain-lagi.
Kelengkapan dewan pula termasuk penyediaan koordinasi majlis, meja makan beradab, dua set meja buffet, 20 meja bulat, 200 set kerusi bergantung jumlah tetamu, meja kek, bilik menunggu dan surau.
Turut disediakan adalah jurufoto dengan pakej fotografi ketika bersanding dan sesi pengambaran di luar, album dan bingkai foto juga diberi, selain sistem audio, juruacara, set karoke, meja untuk tetamu khas dan kek pengantin.
Menu yang disediakan termasuk nasi minyak, nasi putih, ayam masak merah, daging masak hitam, dalca sayur, ruang teh tarik dan pelbagai lagi atas permintaan pelanggan.
“Pakej yang kita beri adalah harga promosi. Biasanya pasangan pengantin tidak ada idea. Bila kita sudah ada pakej ini mudah mereka membuat keputusan memilih pakej berdasarkan jumlah tetamu yang akan mereka jemput.
“Perkhidmatan katering juga adalah yang terbaik termasuk mempunyai perkhidmatan pramusaji. Pengendali katering dipilih selepas kami melakukan beberapa temubual, sesi rasa makanan dan melihat sendiri kemudahan memasak yang mereka ada,” katanya.
Pihaknya juga boleh menyediakan perkhidmatan tambahan seperti pertunjukan silat, kompang dan lain-lain atas permintaan pelanggan.
Nafas Function Hall ketika ini telah menerima tiga tempahan berikutan pelanggan yang tertarik dengan kemudahan yang disediakan termasuk faktor dewan yang terletak aras bawah memudahkan tetamu warga emas dan orang kelainan upaya untuk terus masuk ke dalam majlis.
Mohamad Sarif berkata, mereka yang membuat tempahan sebelum 1 Januari 2024 akan mendapat rebat sebanyak RM2000.
Terdapat kira-kira 80 tempat letak kenderaan di dalam bangunan ibu pejabat Nafas selain tetamu juga boleh meletakkan kereta di luar bangunan. Bagi mereka yang berminat boleh Azza di 018-2192113 dan Sariff di 019-249 0979.
Untuk rekod, Kowarna ditubuhkan pada 2012 bertujuan meningkatkan taraf ekonomi dan menjaga kebajikan anggota korperasi berjumlah 409 orang yang terdiri daripada petugas Nafas.
Nafas Function Hall adalah cabang baru perniagaan Kowarna yang sebelum ini telah menerokai bidang insuran dan takaful, perkhidmatan pembersihan dan landskap, percetakan, penginapan chalet dan penganjuran acara rekreasi.-MalaysiaGazette