Wan Rosdy Wan Ismail

BENTONG – Semua kepimpinan di Pahang diminta memainkan peranan menyedarkan masyarakat tentang kegiatan pemerdagangan manusia di luar negara yang semakin berleluasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga mengingatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan misi bantuan menyelamat agar mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Kerajaan negeri seharusnya memberi pendedahan isu sindiket pemerdagangan manusia bagi membantu mengelak mereka daripada menjadi mangsa.

“Semua pihak kena sentiasa ingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana tawaran yang tidak masuk akal. Kita sebagai pemimpin boleh war-warkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang peranan kerajaan negeri membanteras sindiket itu yang semakin berleluasa menerusi tawaran skim perkerjaan yang kononnya menjanjikan gaji lumayan.

“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan sekiranya mendengar tawaran terlalu menarik. Apabila mendapat tawaran menarik tapi fikir semula,” katanya.

Sementara itu Wan Rosdy menzahirkan kesyukuran kerana proses membawa pulang jenazah mangsa pemerdangan rakyat Malaysia dari balai polis Taicileik, Myanmar pada 14 Oktober lalu berjalan lancar. 

Beliau turut berharap semua pihak mengambil iktibar daripada kejadian yang menimpa Allahyarham Muhammad Izat Abdul Wahab.

“Apabila mendapati perkara ini sahih Kerajaan Negeri Pahang telah tampil menyalurkan peruntukan membawa balik jenazah dan menguruskan semua perkara.

“Alhamdulillah syukur kerana jenazah Allahyarham Muhammad Izzat sudah selamat dikebumikan. Urusan dipermudahkan mendapat kerjasama Kerajaan Myanmar Dan Kedutaan Malaysia di sana.

“Saya ucapkan terima kasih kepada MalaysiaGazette yang ke sana membuat liputan dan melihat secara dekat proses bedah siasat ,” katanya. – MalaysiaGazette