Para peserta Himpunan 10K Solidariti Palestin memegang bendera ketika berarak ke Kedutaan AS di Jalan Ampang, petang tadi.

KUALA LUMPUR – Lebih 5,000 orang menyertai Himpunan 10K Solidariti Palestin yang dianjurkan parti Pas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bermula dari Masjid KLCC, tengah hari tadi.

Para peserta berkumpul sejak 12.30 tengah hari tadi sebelum berarak menuju ke Jalan Binjai, Persiaran KLCC sekitar jam 1.45 petang.

Himpunan itu kemudian berarak menuju ke arah Jalan Tun Razak melalui hadapan Menara Tan and Tan dan seterusnya  bergerak ke hadapan bangunan Tabung Haji dan membuat pusingan U dan untuk menuju di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat.

Sambil memegang bendera Palestin dan plakat, peserta himpunan itu  mengutuk serangan zionis Israel di Gaza.

Lebih 40 anggota polis yang berkumpul dan bersiap sedia di kawasan menuju ke kedutaan dan telah membuat halangan pada jarak 180 meter dari bangunan tersebut dengan kenderaan polis untuk memastikan kumpulan itu tidak memasuki kawasan larangan itu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi berkata, setakat jam 2.15 petang tadi peserta perhimpunan masih berarak.

“Pada masa ini kita anggarkan terdapat hampir 5,000 orang masih bergerak menuju ke Jalan Tun Razak dari Masjid KLCC dan jumlahnya mungkin akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Kita juga menempatkan pegawai dan anggota polis di setiap lokasi penting bagi mengawasi perjalanan himpunan solidariti ini.

Orang ramai berhimpun di kedua dua arah jalan raya di Jalan Tun Razak sekitar Kedutaan AS sebagai tanda solidariti Palestin petang tadi
Para peserta berhimpun di kedua dua arah jalan raya di Jalan Tun Razak sekitar Kedutaan AS sebagai tanda solidariti Palestin petang tadi.

 

“Kita juga akui perhimpunan ini turut menyebabkan aliran trafik di kawasan berhampiran terganggu sedikit namun pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang menguruskan aliran dan keadaan lalu-lintas,” katanya.

Tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati penganjur berkumpul di hadapan Bangunan ALPS, Jalan Tun Razak, dan berucap di atas kenderaan pacuan empat roda yang ditempatkan tidak jauh dari Kedutaan Amerika Syarikat.

Para peserta membanjiri kedua dua bahu jalan di Jalan Tun Razak itu tanpa mempedulikan cuaca mendung dan angin kencang yang menandakan hujan akan turun.

Selain pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, himpunan ini turut membabitkan penugasan anggota dari IPD Wangsa Maju yang mengawal ketat laluan menuju ke kedutaan itu.

Sebelum ini, lokasi perhimpunan dijadualkan berlangsung di Masjid KLCC tetapi diubah di Menara ALPS.

Antara pemimpin politik yang hadir menyertai himpunan berkenaan adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali selain Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast