KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Sabah menyumbangkan RM655,000 kepada rakyat Palestin.
Sejumlah RM355,000 daripada jumlah berkenaan merupakan sumbangan yang dikutip daripada pelbagai agensi dan pertubuhan di negeri berkenaan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sumbangan tersebut merupakan sokongan konsisten terhadap perjuangan Palestin yang kini berdepan dengan kekejaman Israel.
“Selain sumbangan solidariti himpunan pada hari ini (Himpunan Kemanusiaan Untuk Palestin), ia juga sokongan kita terhadap keamanan dan cintakan keharmonian,” katanya ketika hadir himpunan berkenaan di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Sementara itu Hajiji turut menggesa supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan tegas dengan segera bagi menghentikan konflik yang sedang berlaku.
“Kami meminta PBB melakukan sesuatu untuk menghentikan kekejaman yang berlaku di Gaza. Beribu-ribu orang termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas telah dibom,” katanya.- MalaysiaGazette