GAZA CITY – Tuduhan Israel bahawa Hospital al-Syifa menempatkan markas Hamas hanya alasan untuk tentera zionis menyerang fasiliti kesihatan terbesar di Gaza.
Pegawai politik Hamas Ezzat El-Reshiq memberi amaran bahawa dakwaan itu adalah percubaan untuk “membuka jalan untuk menyasarkan sebuah hospital yang mengandungi beribu-ribu orang yang cedera dan menempatkan lebih daripada 40,000 orang pelarian”.
Al Jazeera melaporkan, Ezzat berkata, berkata dakwaan Israel bahawa pejuang pembebasan Palestin menggunakan hospital al-Shifa sebagai perisai untuk infrastruktur ketenteraan bawah tanah sebagai “tidak mempunyai asas kebenaran”.
Sebelum ini jurucakap Israel Daniel Hagari berkata , Hamas telah “mengubah hospital menjadi pusat arahan dan kawalan serta tempat persembunyian untuk pengganas dan komander Hamas”.
Beliau turut menuduh Hamas menyimpan bahan api untuk operasi ketenteraan di dalam hospital di Gaza.
Beberapa media sosial rasmi milik zionis turut menyiarkan video berbentuk animasi grafik yang mendakwa wujudnya fasiliti berkenaan.
Sebelum ini sebuah hospital yang dikendalikan kumpulan Kristian, Arab al-Ahli Hospital telah musnah dibom hingga mengorbankan lebih 300 nyawa.
Israel menafikan pihaknya membuat serangan tersebut walaupun regim Zionis itu berkali-kali mengeluarkan arahan supaya 22 hospital dikosongkan.- Agensi