Muhammad Zul Syafiq (kiri) dan penerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pahang bagi Kategori Individu Wanita, Zurratul Aina Mohd Zahidin.

KUANTAN – Bermula secara kecil-kecilan di kampung halaman di Felda Jengka 19, kini beliau mengetuai pasukan Penyedia Latihan dan Konsultansi Berdaftar dengan lebih 40 tenaga pekerja.

Seiring pencapaiannya, Muhammad Zul Syafiq Abdul Wahab, 32, dipilih sebagai johan bagi Anugerah Perdana Belia Negara peringkat negeri Pahang bagi kategori lelaki, hari ini.

Menurut Zul Syafiq, pada 2012 dia dan beberapa orang rakannya bermula dengan memberi tuisyen pelbagai subjek kepada murid-murid di kawasan setempat secara percuma.

“Inspirasinya adalah selepas kita fikir golongan B40 di kawasan pedalaman yang tiada kemampuan untuk pergi tuisyen di bandar dengan kos yang tinggi.

“Jadi, saya bersama rakan-rakan yang habis belajar di institusi pengajian tinggi, balik kampung dan mula beri tuisyen secara percuma, kemudian sampailah ke peringkat negeri dan sekarang kita mahu ke peringkat lebih tinggi,”katanya.

Muhammad Zul Syafiq Abdul Wahab

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Negeri Pahang, di sini.

Majlis tersebut dirasmikan Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ini bukan pertama kali Zul Syafiq melibatkan diri dalam program dianjurkan Majlis Belia Malaysia (MBM), malah dia sudah tiga kali membawa pulang trofi kejuaraan bagi kategori berlainan.

“Pada tahun 2020, saya pernah memimpin Persatuan Belia Felda Jengka 19 memperoleh Johan peringkat negeri dan Naib Johan dalam peringkat kebangsaan.

“Pada 2021 pula saya menang Anugerah Belia Felda Kebangsaan. Dua bulan lepas, saya berjaya bawa nama masjid pula untuk Anugerah Masjid Contoh Felda Kebangsaan dan menang tempat pertama,” katanya.

Dalam pada itu, Johan bagi kategori wanita Anugerah Perdana Belia Negara, Zurratul Aina Mohd Zahidin berkata, ia merupakan pemangkin buatnya untuk menyumbang lebih banyak kepada komuniti setempat selepas ini.

Zurratul Aina Mohd Zahidin

Dia yang berasal dari Bera berkata, minat mendalamnya adalah ke arah membantu golongan belia dan warga emas memelihara kesihatan mental.

“Kemenangan saya hari ini merupakan batu loncatan untuk saya melakukan yang lebih baik.

“Sebelum ni saya tak pernah terfikir dengan melibatkan diri dalam pembangunan belia seperti ini. Tak pernah tahu pun wujudnya anugerah seperti ini,” katanya.

Zurratul merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Operasi di sebuah Pusat Penjagaan Kesihatan Mental di Temerloh.

Selain itu, terdapat juga Anugerah Perdana Belia, Pertubuhan Belia, Anugerah Usahawan Belia, Anugerah Khas Orang Kurang Upaya (OKU), Anugerah Akademik dan Anugerah Jasa Belia turut dipertandingkan. – MalaysiaGazette