Pas Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas berasa kurang selesa dengan tindakan 12 wakil rakyat PKR menggunakan terma-terma seperti dendam, kebencian dan keganasan sebagai asas kebimbangan dan bantahan mereka terhadap program Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam anjuran Kementerian Pendidikan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penggunaan terma-terma sedemikian walaupun secara negatif, bukan sahaja terdedah kepada salah anggap, malah kelihatan seperti mahu melanjutkan lagi naratif dakyah dan prasangka yang dijuarai oleh media Barat serta pihak-pihak yang menyokong rejim aparteid Israel apabila merujuk kepada perjuangan rakyat Palestin.

Menurut beliau, Pas bersetuju bahawa elemen-elemen sedemikian tidak harus dibawa masuk atau disuburkan dalam kalangan pelajar dan masyarakat.

“Namun, penggunaannya dalam konteks perjuangan dan penentangan sah rakyat Palestin terhadap pencerobohan dan penaklukan oleh sebuah rejim yang terbentuk secara unilateral berdasarkan percaturan kepentingan tidak sah kuasa-kuasa kolonial selepas tamatnya Perang Dunia Kedua itu adalah sama buruknya dengan pencerobohan dan penaklukan yang dilakukan.

“Undang-undang dan nilai-nilai sejagat jelas menyokong dan menerima perjuangan kemerdekaan dan pembebasan daripada penjajahan dan pencerobohan sebagai hak asasi semua manusia.

“Sokongan dan penerimaan ini bukan sahaja melibatkan usaha yang dilakukan secara aman dan diplomatik tetapi juga meliputi perjuangan bersenjata oleh pihak yang terkesan olehnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, sekumpulan tiga Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR menggesa Kementerian Pendidikan mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam.

Mereka ialah Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.

Sembilan ADUN terbabit ialah Lee Boon Heng (Kebun Bunga), Chua Wei Kiat (Rawang), Chan Chun Kuang (Semanbu), Wong Chai Yi (Simpang Pulai), Yew Boon Lye (Chuah), Goh Ghoon Aik (Bukit Tambun), David Cheong Kian Yong (Kajang), Arthur Chiong Sen Sern (Bukit Batu) dan Adam Loh Wei Chai (Bakar Arang).

Takiyuddin menambah, Pas percaya kumpulan wakil rakyat PKR terbabit perlu lebih berhati-hati dalam isu itu dan tidak dilihat cuba memberi gambaran salah tentang perjuangan rakyat Palestin.

Katanya, ia juga adalah untuk mengelakkan mereka dilihat secara halus menggunakan gambaran itu untuk mensabotaj usaha baik Kementerian Pendidikan mendedahkan para pelajar kepada konflik yang berlaku di rantau terbabit serta dasar dan pendirian Malaysia mengenainya.

“Dalam keterpaksaan perlu jua disebut, hakikat bahawa kesemua wakil rakyat terbabit bukan beragama Islam dan berasal daripada kumpulan kaum yang sama semakin mendedahkan bantahan mereka kepada salah tafsiran dan tanggapan tidak sihat mahu pun produktif yang mesti dielakkan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Pas bersetuju bahawa pengisian program yang agak berlebih-lebihan di beberapa buah sekolah seperti dilaporkan sebelum ini harus dihindari, namun ia bukanlah isu pokok atau terlalu penting untuk dijadikan hujah bagi membatalkan atau mempertimbangkannya semula.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah ke depan dengan menyediakan garis panduan lebih terperinci sebagai pedoman kepada sekolah dan institusi pendidikan kita berhubung pengisian program tersebut.

“Keberhasilan sebuah sekolah di Pulau Pinang, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Chong Kuang, Nibong Tebal, menganjurkan program Solidariti Palestin secara harmoni Jumaat lepas boleh dijadikan contoh oleh sekolah-sekolah lain.

“Menurut laporan media, program di sekolah berkenaan melibatkan pelajar dan gurunya yang berbilang kaum dan agama dan diisi dengan majlis penerangan dan tayangan video, pelancaran tabung solidariti, sesi bergambar dengan bendera Palestin dan juga solat hajat untuk guru serta pelajar yang beragama Islam,” katanya.

Menurut beliau, Pas menyokong penuh semua usaha baik yang dilakukan bagi membela semua pihak dan kumpulan yang dianiayai dan dinafikan hak sah mereka, sama ada di Palestin, Myanmar atau di mana-mana negara sekali pun.

Takiyuddih memberitahu, ia adalah atas kepercayaan bahawa kemerdekaan, kebebasan dan kehidupan bermaruah adalah hak mutlak yang dianugerakan tuhan kepada semua makhluk-Nya tanpa mengira warna kulit, kepercayaan agama, lokaliti mahu pun status ekonomi dan sosial.

“Sebagai sebuah parti Islam, Pas akan terus meneladani perjuangan Rasulullah SAW dan dasar teras pemimpin serta kerajaan Islam di sepanjang sejarah dalam isu-isu keadilan, keamanan, hak dan kehormatan semua, tanpa kecuali,” katanya. – MalaysiaGazette