KUALA LUMPUR – Perkhidmatan internet mulai pulih di Gaza hari ini setelah terputus sejak kelmarin ekoran serangan udara rejim Zionis Israel di wilayah itu.
Perkara itu disahkan oleh badan pemantau internet antarabangsa, NetBlocks melalui hantaran X hari hari ini.
Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh NetBlocks, perkhidmatan internet mulai pulih di Deir Al-Balah, Khan Yunis, Rafah dan Gaza City.
Sementara itu, seorang rakyat Palestin, Majeed Abusalama yang sedang mengikuti pengajian doktor falsafah di Universiti Tampere, Finland bersyukur kerana dapat menghubungi dan mendengar suara ibunya yang berada di Gaza.
Namun, menurut beliau, capaian internet di Gaza masih agak lemah.
“Semua orang dapat menghubungi keluarga mereka sekarang. Tiada siapa yang tahu untuk berapa lama,” katanya melalui X. – MalaysiaGazette