Polis cari pemandu Perodua Alza warna coklat punca kemalangan Gambar : Polis Trafik Kuantan

KUANTAN – Polis sedang mengesan pemandu kereta Perodua Alza berwarna coklat yang dipercayai menjadi punca kemalangan sebuah kenderaan lain di Jalan Pintasan Kuantan, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.50 petang di lokasi berhampiran persimpangan lampu isyarat Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS).

“Siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza berwarna coklat dari arah LTSAS itu secara tiba-tiba membelok masuk ke laluan sebuah lagi Perodua Alza berwarna perak dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, disebabkan tindakan pemandu tersebut, kereta Perodua Alza berwarna perak dipandu seorang suri rumah berusia 42 tahun tidak sempat berhenti dan hilang kawalan.

Ia menyebabkan kereta itu terbabas dan melanggar papan iklan yang berada di bahu jalan sebelah kiri.

“Akibat kemalangan tersebut, penumpang hadapan yang merupakan seorang warga emas telah meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Wan Zahari.

Katanya, pemandu kereta itu mengalami kecederaan bahagian tangan kiri, manakala seorang penumpang tempat duduk belakang cedera di kepala dan dirawat di Zon Kuning Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Tambah Wan Zahari,  terdapat saksi yang mengatakan pemandu Perodua Alza berwarna coklat itu telah berhenti seketika, namun meninggalkan tempat kejadian selepas beberapa ketika.

Beliau bagaimanapun mengesahkan belum menerima sebarang laporan yang dibuat pemandu kereta Perodua Alza berwarna coklat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette