KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengakui tentera rejim Zionis akan berdepan kesukaran dalam fasa kedua peperangan yang dimulakannya di Gaza.
Beliau juga menjangka peperangan itu akan mengambil masa yang panjang namun mereka telah bersedia untuk menghadapinya.
Netanyahu turut mengesahkan tentera rejim Zionis Israel telah mencerobohi Gaza semalam untuk memulakan operasi darat.
“Ini adalah perang kemerdekaan kita yang kedua. Kita akan bertempur untuk mempertahankan tanah air kita,” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.
Tindakan rejim Zionis Israel itu ternyata membelakangkan desakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden agar sekutunya itu menangguhkan serangan darat di Gaza.
Biden bimbang konflik tersebut akan menyebabkan lebih ramai orang awam terkorban selain meningkatkan ketegangan di Asia Barat dan menjejaskan keselamatan tawanan Hamas.
Sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam juga telah memberi amaran tentera rejim Zionis Israel akan mengalami kekalahan yang lebih besar sekiranya operasi darat di Gaza diteruskan.
Amaran Briged Al-Qassam itu memberi bayangan kali ini mereka akan berjuang bermati-matian untuk menggagalkan pencerobohan tentera rejim Zionis di Gaza.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) dijadualkan bersidang esok untuk membincangkan tentang konflik di Gaza.
Serangan udara Israel setakat ini telah menyebabkan lebih 7,703 rakyat Palestin termasuk lebih 3,500 kanak-kanak terbunuh. – MalaysiaGazette