Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda terlebih dahulu Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) sebelum membentangkan Akta Kebebasan Maklumat, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, ini kerana pindaan Akta 88 perlu dibuat bagi membolehkan pemberi maklumat mendapat pelindungan yang lebih meluas sekiranya Akta Kebebasan Maklumat ingin dilaksanakan.

“Kita bercakap mengenai Akta Kebebasan Maklumat, perlunya pindaan dilakukan tetapi mungkin tak sempat (dibentang) tahun ini, Insya-Allah pada tahun depan.

“Akta Kebebasan Maklumat ini sangat penting kerana perlu dilihat sekali dengan Akta Rahsia Rasmi 1972. Jadi perlunya satu ‘balancing act’ (keseimbangan akta) yang mana Akta Rahsia Rasmi kemungkinan dipinda supaya Akta Pemberi Maklumat mempunyai skop yang lebih luas.

“Kita tak boleh hanya datang ke Parlimen membuat pindaan sewenang-wenangnya tanpa membuat libat urus bukan saja dengan ahli politik atau wakil di sini iaitu kedua belah blok (kerajaan dan pembangkang), tetapi juga agensi terbabit yang akan melaksanakan perkara ini.

“Kita tidak senyap mengenai hal ini, bahkan kita bercakap sebab kita mempunyai kesedaran perlunya satu perubahan dari segi landskap. Apa guna nak cakap contohnya mempunyai undang-undang begitu ketat kalau Akta Kebebasan Maklumat tidak memberi perlindungan sepenuhnya kepada pemberi maklumat. Siapa nak buat aduan? Ia tidak boleh bergerak bersendirian tanpa mempunyai undang-undang,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 pada peringkat daar hari ini di Dewan Rakyat.

Justeru itu, Azalina berkata, perbentangan Akta Kebebasan Maklumat tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana perlu ada keseimbangan dengan melihat kedua-dua akta terbabit untuk memberi perlindungan sepenuhnya kepada pemberi maklumat.

Dalam pada itu, Azlina berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan di bawah bidang kuasa beliau.

Malah Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, SPRM adalah bidang kuasa lain dan bukan dibawah kementeriannya.

“Saya tak boleh menjawab sebab ada pengasingan kuasa. Saya bukan menteri yang menjaga SPRM, tak boleh jawab dan saya juga bukan pendakwa raya. Saya tidak bertanggungjawab (ke atas SPRM).

“Saya boleh jawab (SPRM di bawah siapa), tetapi bukan (menteri) bertanggungjawab. Kalau nak jawab, saya boleh bagi jawapan bertulis,” katanya.

Azalina berkata demikian menjawab celahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). – MalaysiaGazette