Shahidan Kassim. Foto MOHD ADZLAN, 27 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) menyokong Israel mendapat kecaman daripada beberapa Ahli Parlimen kerajaan.

Shahidan yang bangun ketika sesi soalan lisan meminta kerajaan menyatakan pendirian mengenai konflik di Palestin memandangkan terdapat Ahli Parlimen kerajaan didakwa menyokong rejim Israel.

“Saya minta supaya Parlimen membuat pendirian mengenai perkara ini dan jangan biarkan satu orang buat pandangan contohnya (Ahli Parlimen) Tebrau buat pandangan yang dia menyokong Israel.

“Adakah seorang sahaja yang menunjukkan pendirian menyokong Israel, Parlimen sendiri kena buat keputusan apakah pendirian kita mengenai pembunuhan di Palestin .

“Saya minta supaya kerajaan yang bawa usul untuk menyatakan pendirian kita berhubung dengan pembunuhan yang dilakukan oleh Israel.

“Tebrau kata sokonga Israel, sebab itu kita semua terkilan dengan apa yang berlaku,” katanya.

Wee Tse kemudiannya bangun dan mendakwa Shahidan membuat tuduhan jahat dan fitnah terhadap beliau di Dewan Rakyat.

“Ini jangkaan jahat dimana nama saya disebut. Beliau adalah seorang senior jangan guna perkataan itu.

“Itu satu fitnah, saya harap Arau boleh tarik balik pendirian itu.

Berikutan itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng meminta Shahidan mengemukakan bukti atas tuduhan terbuka yang dibuatnya terhadap Wee Tse.

“Arau ada apa bukti bahawa Tebrau sokong Israel?, soal Alice Lau.

Shahidan berkata, perkara itu perlu dilakukan Wee Tse di luar kerana mendakwa kenyataan beliau sudah viral di media sosial.

“Dia (Tebrau) patut tarik balik di luar saya sebab sudah viral di luar sana menyokong Israel, bukan dalam Dewan Rakyat. Kalau tidak betul, baguslah,” jelas Shahidan.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut menimbulkan kemarahan beberapa Ahli Parlimen kerajaan.

“Tarik balik!, tarik balik!,” teriak mereka dalam Dewan Rakyat.

Bagi meredakan keadaan, Alice Lau mengarahkan Shahidan untuk menarik balik kenyataannya.

Bingkas bangun, Syahredzan Johan (PH-Bangi)berkata: “Ingat senior boleh cakap apa sahaja ke?,”.

Sepuluh minit kemudian, Shahidan menarik balik kenyataan tersebut.

“Kalau dia (Tebrau) tidak kata dia sokong Israel, dan mengaku. Saya tarik balik kenyataan tersebut,” kata Shahidan.

Dewan Rakyat diteruskan dengan penggulungan di peringkat kementerian bagi Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023. – MalaysiaGazette