KUALA LUMPUR – DAP dan sebahagian pemimpinnya dikatakan masih gagal memahami erti solidariti bersama Palestin atau mungkin sengaja bersikap acuh tidak acuh bersolidariti dengan umat Islam Palestin yang sedang dizalimi oleh Yahudi durjana.
Pemimpin Pas, Nasrudin Hassan berkata, ketika umat Islam dan seluruh masyarakat dunia tanpa mengira latar belakang agama dan peringkat umur bangkit mengecam kekejaman Israel, DAP dan sebahagian pemimpinnya tampil mengecam program Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan di sekolah.
Menurut beliau, mereka mendakwa kononnya usia kanak-kanak tidak sesuai didedahkan soal peperangan dan keganasan selain turut kepanasan melihat aksi pantomim murid-murid sekolah yang memegang senjata mainan sebagai gimik kebersamaan mereka dengan umat Islam di Palestin.
“Mereka mempersoalkan momen penggunaan senjata mainan dalam kalangan kanak-kanak. Persoalannya, kenapa mereka tiba-tiba takut pada senjata mainan kanak-kanak?
“Sedangkan senjata mainan itu berlambak di pasaran dan laris dibeli oleh ibu bapa untuk mainan anak-anak mereka sepanjang masa.
“Apakah selepas ini DAP akan mengharamkan senjata plastik mainan kanak-kanak yang berlambak di pasaran sejak puluhan tahun?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyatakan, partinya terkilan dengan penganjuran satu program di sebuah sekolah rendah yang memaparkan unsur-unsur keganasan dan ekstremisme dengan penggunaan replika senjata.
Katanya, DAP menentang sebarang bentuk keganasan dan membantah semua bentuk program yang mempamerkan unsur-unsur kekerasan bersenjata di semua sekolah yang melibatkan murid-murid pada usia yang muda.
Nasrudin seterusnya mempersoalkan sama ada DAP takut apabila kanak-kanak terbabit menghayati perjuangan umat Islam di Palestin atau bimbang mereka memahami erti kekejaman Zionis yang telah membunuh ratusan ribu kanak-kanak sebaya dan seusia mereka sejak Israel menjajah Palestin.
Beliau menambah, kecaman DAP terhadap aktiviti Minggu Solidariti Palestin di sekolah adalah sangat dangkal dan gagal menghayati erti solidariti terhadap penderitaan yang sedang dialami oleh umat Islam di Palestin.
“Satu masa mereka dakwa mereka juga mengecam Israel. Akhirnya mereka seperti menunjukkan warna sebenar wajah dan sikap mereka terhadap isu Palestin apabila menidakkan aksi solidariti anak-anak sekolah.
“Sikap DAP yang sebeginilah, selalu disebut oleh orang-orang tua sebagai ‘mulut manis punggung masam’,” jelasnya.
Nasrudin berkata, jika aksi memegang senjata mainan oleh pelakon watak pejuang-pejuang Islam Palestin dalam pantomim itu dianggap elemen ganas atau keganasan, maka DAP gagal sepenuhnya memahami erti perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan dan keganasan Israel.
“Sepertinya mereka senada dengan Amerika Syarikat dalam menyenaraikan pejuang-pejuang Palestin yang mahu mempertahankan nyawa, maruah, keluarga serta tanah air mereka sebagai pengganas,” katanya. – MalaysiaGazette