Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melawat tapak pameran ketika hadir pada Anugerah Toilet Of The Year Award ketika di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), Bukit Kiara. Foto MOHD ADZLAN, 30 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Industri  peralatan tandas telah menyumbang nilai pasaran sehingga mencecah RM80 bilion pada peringkat global.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dalam tempoh 10 tahun, industri tersebut dijangka akan terus berkembang kira-kira 17.3 peratus.

“Wawasan saya juga adalah untuk berusaha dan menggalakkan industri peralatan tandas, harapan saya satu hari nanti Malaysia juga pergi ke pasaran luar negara kita boleh eksport peralatan tandas kita.

“Dengan ini rakyat boleh faham kenapa polisi ini diwujudkan kita kerana ada prospek ekonomi yang penting,” katanya ketika berucap di majlis Toilet Of The Year Award 2023 di sini malam ini.

Menurut Kor Ming, selain penting untuk konsep kebersihan sektor berkenaan juga berpotensi menyumbang dalam sektor pelancongan.

Sehubungan itu, katanya, polisi untuk memastikan tandas dalam negara bertaraf berkonsep Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) tidak sepatutnya diremehkan.

Terdahulu, beliau berkata. meskipun julung kali diadakan namun anugerah itu mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila seramai 345 penyertaan diterima bagi lima kategori.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Yb Nga Kor Ming menyampaikan Anugerah Toilet Of The Year Award kategori Restoran kepada wakil Cawan Mu Ipoh, Lan Chua Yi Wei ketika di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), Bukit Kiara. Foto MOHD ADZLAN, 30 OKTOBER 2023.

Lima kategori tersebut adalah hotel, pusat beli belah, kawasan rehat dan rawat (R&R), stesen minyak dan restoran.

“Kita jangkakan tahun depan lebih banyak penyertaan apabila ramai tahu tentang anugerah ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nga berkata kategori penyertaan anugerah berkenaan diperluaskan kepada sekolah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula tahun depan.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, jumlah wang tunai untuk pemenang ditambah kepada RM20,000.

Sebagai rekod, Anugerah Toilet Of The Year merupakan hasil cetusan Kor Ming sendiri bertujuan memberi pengiktirafan kepada premis-premis swasta yang berjaya menyediakan tandas awam bertaraf BMW.- MalaysiaGazette