Datuk Seri Najib Tun Razak.

Permohonan pemindaan tiga pertuduhan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak menggambarkan pasukan pendakwaan terburu-buru mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak pada September 2018, iaitu kira-kira empat bulan selepas  Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Permohonan pihak pendakwaan menunjukkan tindakan mereka untuk mendakwa Najib mempunyai niat jahat yang dilakukan tanpa penelitian (due diligence).

Baru-baru ini, pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mereka ingin meminda tiga pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Selepas 186 hari perbicaraan, kes itu kini berada di penghujung pendakwaan yang mana sebanyak 48 saksi pendakwaan telah memberi keterangan, bermula pada September 2018.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib menyifatkan perbuatan meminda pertuduhan sebagai pendakwaan berniat jahat dan salah guna kuasa kerana ia dibuat pada peringkat akhir kes.

Beliau berkata, pendakwaan walaupun mengetahui tentang kecacatan dalam pertuduhan mereka pada  2018, memutuskan untuk memilih pertuduhan yang cacat dan tidak adil terhadap Najib.

“Pada 2018, pendakwaan terburu-buru mendakwa anak guam saya dan selepas lima tahun, kini mereka mahu meminda tiga pertuduhan. Ia adalah tidak adil kepada anakguam saya.

“Keadilan tidak hanya datang daripada mahkamah, tetapi keadilan perlu juga datang daripada pendakwaan yang merangka pertuduhan untuk kepentingan keadilan dan seharusnya mengemukakan pertuduhan yang betul selepas siasatan yang menyeluruh.

“Pendakwaan sepatutnya melakukannya dengan adil dan tidak menyusahkan tertuduh dengan ketidakadilan,” hujah beliau.

Jelas peguam itu, kelewatan yang melampau dalam meminda pertuduhan selepas bukti dibawa kepada pertuduhan oleh pendakwaan adalah refleksi bahawa pendakwaan tidak bertindak dengan usaha wajar (due diligence).

“Adalah penting untuk diambil perhatian bahawa keupayaan pendakwaan untuk meminta pindaan atau tambahan kepada pertuduhan pada mana-mana peringkat sebelum penghakiman tidak memberikan kuasa mutlak pendakwa raya untuk memulakan pendakwaan tanpa usaha wajar atau sebab yang wajar.

“Tanggungjawab untuk memastikan kesesuaian pertuduhan kekal. Ia tidak semestinya bermakna bahawa pendakwa raya, boleh memulakan pendakwaan mengikut kehendaknya dan tanpa memastikan atau berpuas hati,” ujarnya.

Muhammad Shafee berkata, pendakwaan telah membuat kesilapan ketara dalam mengira pertuduhan, memerlukan cadangan pindaan seperti yang diketengahkan dalam kes Pendakwa Raya lawan Zainuddin (supra), yang mana adalah menjadi kewajipan ke atas pendakwaan untuk mengekalkan standard tertinggi bagi profesionalisme dan mengelak daripada menyalahgunakan kuasa budi bicaranya dalam proses pendakwaan.

“Memandangkan sifat kes dan tahap kepentigan awam yang tinggi, tidak ada margin untuk kesilapan. Pindaan ini sepatutnya telah dikesan pada peringkat awal, terutamanya apabila penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan dan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, ACP Foo Wei Min menjalankan analisis mereka pada 2018, detik-detik penting yang akhirnya menyebabkan tertuduh didakwa kes ini.

“Meminda pertuduhan pada lewat peringkat hanya boleh dilihat sebagai berniat jahat, memudaratkan tertuduh, dan memudaratkan pembelaan tertuduh,” kata beliau.

Shafee Badan Peguam
Muhammad Shafee Abdullah

Katanya,  pendakwaan sepatutnya sentiasa melakukan penelitian dan semak semula pertuduhan bukannya ‘berteduh’ dengan mencari mahkamah untuk meminda pertuduhan, dengan mengambil kira pertimbangan bahawa perkara itu telah berjalan selama lima tahun.

Baru-baru ini, pendakwaan ingin meminda pertuduhan berkenaan berikutan keterangan Adam Ariff dan Foo.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, pihak pendakwaan mahu meminda jumlah daripada RM49.9 juta kepada RM44.6 juta.

Untuk pertuduhan pengubahan wang haram, pihak pendakwaan mahu meminda pertuduhan ke-10 yang Najib dituduh melakukan kesalahan dengan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram, dengan mengurangkan jumlah terlibat daripada RM652.6 juta kepada RM515.7 juta.

Selain itu, pihak pendakwaan juga mahu meminda pertuduhan ke-21 melibatkan pemindahan dana dengan mengurangkan jumlah RM12.4 juta kepada RM11.4 juta.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. -MalaysiaGazette