KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan untuk membangunkan secara bersama Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura yang bakal memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua pihak.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, projek yang penting dan berpotensi besar itu bakal meningkatkan pergerakan rentas sempadan barangan dan manusia serta memperkukuhkan ekosistem perniagaan.
Menurut beliau, SEZ tersebut juga akan menambah baik daya tarikan ekonomi Singapura dan Johor.
“Kami sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengenai fokus SEZ dan minat pelabur serta permintaan pasaran,” katanya.
Hsien Loong dalam sidang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepa Sesi Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 di Singapura, hari ini.
Beliau berpandangan, SEZ akan meningkatkan pergerakan barangan antara kedua-dua lokasi berikutan kemudahan seperti konsesi cukai khas dan gudang terikat.
Hsien Loong menambah, pergerakan mereka yang bekerja di Johor dan Singapura juga menjadi lebih mudah sekali gus membolehkan syarikat-syarikat yang beroperasi di SEZ mendapat kombinasi pekerja profesional, berkemahiran dan am yang diperlukan.
Beliau juga percaya SEZ kan menambah baik ekosistem Wilayah Pembangunan Iskandar sekali gus menjadikannya lokasi tumpuan para pelabur.
“Kami mempunyai harapan yang besar namun kita perlu melakukan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu.
“Kita juga perlu berunding tentang perjanjian persefahaman (MoU) dan berharap dapat melakukannya menjelang awal tahun depan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hsien Loong berkata, kerajaan Singapura merancang untuk membangunkan semula Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands bagi meningkatkan kapasitinya dan menjadikan pergerakan lebih lancar.
“Kami perlu merobohkan struktur sedia ada dan meningkatkan kapasitinya,” katanya. – MalaysiaGazette