10 individu mengaku tidak bersalah menawarkan iklan persundalan secara online di Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Seramai 10 individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menawarkan iklan persundalan secara dalam talian menerusi laman web berpangkalan di Australia, dua minggu lalu.

Kesemua tertuduh Soay Say Hean, Teh Hang Wei, Karen Tang Xin Ying, Lay Cheak Joe, Jack Oon Han Jie, Lee Suet Yee, Beh Shing Ping, Ang Hooi Qian, Lim Shin Ghee dan Beh Shin Yuan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mereka dibaca serentak di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh berusia 21 tahun hingga 33 tahun terbabit secara bersama di sebuah premis komersil di Bayan Baru telah mengiklankan khidmat persundalan secara dalam talian di laman web dikenali sebagai www.escortsandbabes.com.au.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Bayan Lepas di sini, jam 5.30 petang pada 20 Oktober lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan selain boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin beserta syarat tambahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala kesemua tertuduh kecuali Karen Tang Xin Ying, diwakili peguam, C Pang.

Ketika prosiding, Jin Hong memohon mahkamah  menetapkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh selain memohon tiga syarat tambahan iaitu semua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Pang memohon kadar itu dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan semua anak guamnya mempunyai tanggungan manakala K. Selva yang mewakili Xin Yin berkata, anak guamnya berusia 21 tahun baru sebulan bekerja di premis terbabit sebagai kerani dan menerima gaji kurang daripada RM2,000.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,500 beserta seorang penjamin selain membenarkan permohonan syarat tambahan oleh Jin Hong.

Kes akan disebut semula pada 30 November depan. – MalaysiaGazette