KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza yang menjadi tempat sebilangan rakyat Palestin berlindung terselamat dalam bedilan bom, baru-baru ini.
Wanita berusia 44 tahun itu berkata, pihaknya terputus hubungan dengan kakitangan sekolah berikutan bedilan bom di kawasan tersebut sejak seminggu lalu.
“Alhamdulillah sekolah saya masih selamat lagi. Sekarang ini sekolah itu menjadi penempatan untuk mereka yang tiada tempat tinggal di kawasan berhampiran.
“Saya berdoa dalam setiap solat saya semoga sekolah saya, anak-anak saya tidak dibom dan berdoa peperangan ini cepat dihentikan sebab kita semua merasai apa rakyat Palestin rasa,” katanya menerusi perkongsian Instagram miliknya.
Penyanyi lagu Cindai itu turut berkongsi perasaan lega apabila sahabatnya, Dr. Mohanad yang membantu menyalurkan barangan keperluan kepada penduduk setempat menerusi tadika itu juga telah menghubunginya selepas beberapa hari terputus hubungan.
Siti yang berkongsi perbualannya dengan aktivitis dan sukarelawan itu turut meminta orang ramai terus mendoakan keselamatan seluruh masyarakat Palestin.
Sebelum ini, Siti yang lantang menyokong Palestin menzahirkan kebimbangan apabila Kem Al-Shati di bahagian barat Gaza dibedil bom dalam serangan terbaru Israel yang juga berhampiran sekolah Afwa Al Aafiyah. – MalaysiaGazette