KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,994 kes buli di sekolah direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) di bawah Kementerian Pendidikan sepanjang Januari hingga bulan lalu.
Jumlah yang dikongsikan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying itu menunjukkan peningkatan iaitu 3,887 kes tahun lalu.
Menurut beliau, sebanyak 326 kes buli dicatatkan pada 2021 dan jumlah yang rendah itu adalah ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hui Ying menambah, siasatan telah dijalankan terhadap semua kes tersebut dan tindakan susulan terutamanya bimbingan kaunseling telah diambil.
“Kes buli atau gejala sosial ini melibatkan banyak pihak, bukan hanya ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga, kita memerlukan penglibatan daripada mereka.
“Juga komuniti setempat. Tujuan kami adalah untuk memastikan kes buli dapat dikurangkan dan pembuli dan mangsa buli dapat diberikan bimbingan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH – Balik Pulau) berhubung statistik kes buli di sekolah dan tindakan yang diambil untuk menanganinya.
Dalam perkembangan sama, Hui Ying berkata, kerajaan merancang untuk menambah guru kaunseling sekiranya kes buli di sekolah didapati terus meningkat.
Beliau memberitahu, langkah itu adalah untuk memastikan tindakan segera dapat diambil untuk menangani gejala tersebut.
“Mereka mesti diberi kesedaran dan bimbingan yang sepatutnya, untuk tahu mengapa mereka buli, ingin buli dan lakukan perbuatan buli,” jelasnya. – MalaysiaGazette
ya betul