Craig Mokhiber

NEW YORK – Serorang pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menuduh Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan sebahagian negara Eropah bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Pengarah Badan Hak Asasi Manusia PBB, Craig Mokhiber menuduh negara terbabit turut bersubahat sepenuhnya dalam serangan mengerikan regim Zionis terhadap rakyat Palestin.

“Sekali lagi kami melihat pembunuhan beramai-ramai berlaku di depan mata kami dan organisasi yang kami berkhidmat kelihatan tidak berdaya untuk menghentikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap kekejaman yang berlaku di Gaza

Peletakan jawatan itu juga berikutan kegagalan PBB dalam tugasnya untuk menghalang apa yang dikategorikan sebagai pembunuhan beramai-ramai orang awam Palestin di Gaza oleh Israel.

Mokhiber menambah AS, UK dan kebanyakan negara Eropah bukan sahaja “enggan memenuhi obligasi perjanjian mereka” di bawah Konvensyen Geneva tetapi juga bertindak memberi senjata kepada Israel untuk membunuh rakyat Palestin.

Selain itu negara terbabit juga memberi perlindungan politik dan diplomatik kepada Israel selepas melakukan jenayah kemanusiaan.

Mokhiber telah bekerja untuk PBB sejak 1992, berkhidmat dalam beberapa peranan penting.

Beliau mengetuai kerja pesuruhjaya tinggi dalam merangka pendekatan pembangunan berasaskan hak asasi manusia, dan bertindak sebagai penasihat kanan hak asasi manusia di Palestin, Afghanistan dan Sudan.

Mokhiber merupakan seorang peguam yang pakar dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan pernah tinggal di Gaza pada tahun 1990-an. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast