KUALA LUMPUR – Serorang ‘hamba Allah’ dari Pasir Gudang Johor berkorban RM135,000 membida seutas jam tangan milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri demi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin.
Hamba Allah tersebut menitiskan air mata ketika ditanya mengapa beliau sanggup membeli jam jenama mewah pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud kepada Zulkifli.
“Saya tanya kepada beliau, mengapa terdetik untuk membida dengan nilai RM135,000 pada 7 minit terakhir sebelum ditutup pada jam 12 tengah malam semalam?
“Pembida ini sebak dan kemudiannya menangis. Jawapannya kerana ia adalah derma kurnia Raja Arab Saudi, milik saya, dan demi Palestin,” kata Zulkifli.
Beliau yang juga bekas mufti Wilayah Persekutuan menyerahkan jam berkenaan kepada pembida tersebut hari ini.
Zulkifli berkata, beliau yang dalam perjalanan ke Abu Dhabi untuk menghadiri mesyuarat tahunan bersama Syeikhul Azhar akan singgah ke Jordan untuk menyerahkan sendiri RM100,000 kepada pelarian Palestin di Amman, melalui Muslim Care Malaysia.
Manakala baki RM35,000 akan diserahkan bermula esok kepada lapan budan bukan kerajaan terpilih iaitu MERCY Malaysia, Global Peace Malaysia, Cinta Gaza, Aqsa Syarif, PAS Relief, MAPIM, Aman Palestin dan MyFundAction.
“Sehingga saat ini, Palestin masih berdarah. Terbaharu saya terima info, kem pelarian Palestin di Jabalia pula dibom tentera Zionis Israel.
“Saya sayang jam ini tetapi saya lebih sayang saudara kita di Palestin. Semoga ini menjadi sejuzuk kecil saksi pengorbanan kecil kami untuk Palestin.
” لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتّٰى تُنْفِقُوْا مِمَّا تُحِبُّوْنَ ۗوَمَا تُنْفِقُوْا مِنْ شَيْءٍ فَاِنَّ اللّٰهَ بِهٖ عَلِيْمٌ Maksudnya: “Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infakkan, tentang hal itu sungguh, Allah Maha Mengetahui.” (Surah Ali Imran: 92),” kata Zulkifli.
Zulkifli mula melelong jam tangan Rolex itu pada dua hari lepas dengan permulaan sebanyak RM40,000.
Kenaikan bermula RM100 ke atas dan bidaan ditutup pada 31 Oktober tepat pukul 12 tengah malam.-MalaysiaGazette