Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berhubung transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok Shop di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana cadangan agar sekatan terhadap platform itu dilaksanakan masih dalam penelitian kedua-dua belah pihak.

“Berkaitan dengan cadangan sekatan terhadap TikTok Shop (sebenarnya) perkara ini sedang diteliti dan siri libat urus sedang berjalan.

“Insya-Allah esok Timbalan Menteri (KKD) akan mengadakan pertemuan dengan penyedia platform itu.

“Kita (KKD) akan mendapatkan pandangan daripada mereka (TikTok) mengenai beberapa perkara kerana waktu ini kita (kerajaan) belum ada sebarang keputusan atau pendirian (sama ada ingin haramkan TikTok Shop atau sebaliknya),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Indonesia akan mengharamkan platform TikTok Shop di negaranya.

Sementara itu, Fahmi turut memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama TikTok Shop telah menurunkan sebanyak 2,783 kandungan di platform berkenaan bermula 1 Januari hingga 1 September lalu.

Tindakan itu diambil berikutan berlaku kesalahan undang-undang kerana melanggar garis panduan yang ditetapkan.

“Tindakan ini adalah mengikut undang-undang sedia ada serta berdasarkan aduan daripada masyarakat awam atau pihak yang terkesan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast