Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki terbunuh selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh pokok dan tiang papan iklan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, hari ini.

Mangsa, Ang Kah Hin, 65, terdahulu dikatakan tersalah memasuki laluan motosikal sebelum keretanya merempuh pokok dan tiang berkenaan.

Mangsa dikatakan memasuki lorong motosikal sebelum terbabas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Suhaiman Abdul Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.11 petang sebelum sembilan anggota termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian.

Jelas beliau, pihaknya berdepan kesukaran untuk sampai cepat di lokasi susulan keadaan jalan raya sesak sekali gus menyukarkan pergerakan jentera bomba.

“Sebaik tiba, kita dapati sebuah kereta pelbagai guna jenis Perodua Alza terbabit dalam kemalangan dan terdapat seorang lelaki di dalam kenderaan itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selain tersepit bahagian tempat duduk pemandu.

“Susulan itu, pasukan penyelamat mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pihak bomba sedang melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa.

Tambah Suhaiman, sebaik mengeluarkan mangsa pihaknya mendapati ada kesan kecederaan pada kepala mangsa sebelum petugas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan dia telah meninggal dunia.

“Kes diserahkan kepada pihak polis dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette